Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Rakyat Melaka diingatkan cukuplah sekali mereka pernah diperdaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) dan menyaksikan sebuah kerajaan negeri tanpa kestabilan pada 4 Oktober lalu.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merayu kepada rakyat negeri itu agar bacalah perkara yang mahu dinyatakannya dengan mata hati yang terang, bukan emosi yang dipermainkan oleh propaganda politik dan persepsi negatif lawan BN.

“Cukuplah sekali orang Melaka pernah diperdaya pada 9 Mei 2018. Janganlah diulangi kesilapan dan kemudaratan masa lalu kerana Melaka adalah tentang masa depan kita bersama.

“Seluruh rakyat Melaka fahamilah bahawa hari Sabtu ini (esok) merupakan peluang untuk mereka mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan stabil.

“Iaitu sebuah kerajaan BN Melaka yang pernah bersama-sama bergandingan dengan mereka dalam memakmurkan negeri itu selama berpuluh tahun lamanya,” katanya dalam hantaran Facebooknya, semalam.

Kata Presiden UMNO itu, fakta sejarah tidak sesekali boleh disanggah bahawa segala pembangunan sedia ada yang terlihat di Melaka selama ini adalah hasil sentuhan kerajaan BN.

Katanya, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama yang terjalin di negeri itu sejak sekian lama juga ‘hasil nukilan’ pentadbiran kerajaan BN yang sentiasa adil dan saksama kepada semua.

Melaka, kata Ahmad Zahid, memerlukan semangat yang dipandu kerajaan BN itu untuk kembali demi memastikan negeri dan rakyatnya dapat mengharungi era masa depan yang pasti lebih mencabar.

“Maka, janganlah sesekali orang Melaka mensia-siakan peluang itu kerana peluang yang sama akan hanya hadir untuk tempoh yang lama selepas 20 November ini berakhir.

“Bukankah rakyat Melaka sudah merasai sejarah hitam 22 bulan pentadbiran kerajaan PH yang banyak menyusahkan hati dan jiwa raga mereka.

“Rakyat Melaka juga sudah menyaksikan sebuah kerajaan negeri tanpa kestabilan rebah begitu mudah pada 4 Oktober lalu angkara komplot empat wakil rakyatnya termasuk seorang daripada PPBM dan seorang Bebas,” katanya.

Ironinya kata beliau, dua daripada wakil rakyat itu kini bersama Pakatan Harapan (PH) menjadi calon PRN Melaka, manakala seorang lagi terpaksa bertanding sebagai calon bebas mungkin selepas didapati tidak lagi diperlukan.

Dalam erti kata lain, rakyat Melaka seharusnya boleh mencongak parti politik manakah yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Beliau berharap, pengundi atas pagar atau tidak berpartisan perlu memahami dengan mengundi sebuah lagi parti bertanding iaitu Perikatan Nasional (PN) tidak akan membawa kestabilan di Melaka.

“PN yang merupakan parti serpihan UMNO tidak mempunyai asas yang jitu di Melaka termasuk dalam kalangan penyokong tegar, maka mengundi PN tidak akan memenangkan parti itu di Melaka.

“Sebaliknya setiap undi kepada PN ibarat memberi satu undi kepada PH untuk berkuasa semula di Melaka dan itu sesuatu yang tidak mahu dilihat oleh majoriti rakyat Malaysia.

“Rakyat Melaka perlu memahami dengan jelas, masa depan negeri itu terletak kepada sebuah pentadbiran yang stabil demi kemakmuran dan kerajaan BN selama berpuluh tahun membawa falsafah itu tanpa gagal,” katanya.

Bagaimanapun, ujar Ahmad Zahid, BN tertewas jua angkara fitnah dan tipu daya PRU-14 bukan sahaja di Melaka, malah di peringkat persekutuan.

Beliau berharap, pada hari mengundi esok, rakyat Melaka berpeluang menjadi perintis kepada kebangkitan kestabilan dan kemakmuran masa lalu bukan sahaja di negeri itu, malah buat Malaysia amnya.

“Justeru, rakyat Melaka fikirlah sedalam-dalamnya dan tidak membuat keputusan cuma berdasarkan tohmahan yang direka oleh musuh BN kerana akibat buruknya adalah tentang masa depan negeri orang Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette