PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada di negara ini perlu terus bebas tanpa terikat dengan mana-mana parti politik, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Menurut bekas perdana menteri itu, sekiranya sesebuah NGO bergerak bebas tanpa dikuasai oleh mana-mana pihak maka banyak perkara yang boleh dilakukan dalam memperbaiki keadaan negara.
“Zaman dahulu kita tidak ada NGO, kita cuma ada badan sukarelawan yang menumpukan kepada kerja-kerja kebajikan tak lebih daripada itu tetapi selepas merdeka dan maju ke hadapan maka NGO ini diperkenalkan.
“Walaupun kita mempunyai dewan undangan negeri, dewan rakyat dan sebagainya tetapi kita perlu mendengar pendapat serta rintihan rakyat mengenai keadaan dalam negara.
“Oleh sebab itu kita mempunyai NGO dan NGO ini memfokuskan kepada perkara-perkara tertentu yang menjadi masalah kepada masyarakat dan yang ada kaitan dengan kemajuan pembangunan negara dan lebih daripada itu yang menentukan bahawa dalam negara kita pemerintahan mestilah mengikuti undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog NGO Bersama Negarawan dan Memorandum Persefahaman Reset Malaysia di Hotel Marriot hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, sesebuah NGO juga berhak menegur sesuatu perkara yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya ia dilihat bertentangan dengan undang-undang.
“Sebab itu lah kita mempunyai NGO kerana dengan adanya wakil rakyat sahaja adalah tidak memadai kerana wakil rakyat ini dikuasai oleh politik mereka.
“NGO tidak dikuasai oleh politik mana-mana, NGO berhak bebas untuk menegur sesuatu yang salah dilakukan oleh kerajaan atau pun sesiapa itulah peranan NGO.
“Sebab itu kita memerlukan dan menerima baik adanya NGO di Malaysia ini, menjadi tanggungjawab NGO untuk membuat teguran di mana ia diperlukan dengan itu maka kerajaan akan lebih berhati-hati dan akan amalkan cara-cara yang dibenar oleh undang-undang,” ujarnya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, jika sesebuah NGO itu menyuarakan pendapat yang tidak sejajar dengan pemerintahan kerajaan jangan pula mereka diberi tekanan.
“Jangan lah setelah mereka bersuara mereka dipanggil polis dan disoal kerana ini juga merupakan satu tekanan. NGO perlu bebas jadi kalau NGO bebas maka banyak lah yang boleh dilakukan oleh NGO untuk memperbaiki keadaan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette