Menteri Besar Johor,Datuk Hasni Mohammad.

KOTA ISKANDAR- Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan RM610,000 bagi menjayakan program Ketua Kampung Digital.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, program itu bagi memastikan penyampaian program serta informasi kerajaan dapat disebarluas, cepat dan lancar.

“Keupayaan digital wakil masyarakat, iaitu ketua kampung perlu diperhebatkan. Program ini bakal mejalankan latihan digital onboarding, pakej internet selama setahun dan tablet kepada kesemua ketua kampung.

“Usaha ini diharap mampu memudahkan urusan ketua kampung ini dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya  pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Kerajaan negeri, katanya, bersedia memberi peruntukan sebanyak RM21.5 juta bagi memastikan agenda Johor Digital dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dalam usaha pembangunan negeri, kerajaan negeri akan terus memperhebat pelaksanaan agenda Johor Digital sebagai salah satu strategi utama membangunkan sosioekonomi rakyat.

“Antara isu yang mendesak semasa pandemik ini adalah jurang digital daripada segi infrastruktur, akses internet dan peranti digital, pengetahuan orang ramai tentang teknologi digital dan paling penting penerimaan masyarakat terhadap penggunaan digital,” katanya.-MalaysiaGazette