BAYAN LEPAS – Seorang mekanik meninggal dunia selepas dihempap kereta yang sedang dibaikinya dalam kejadian di sebuah bengkel Kampung Bukit berhadapan Balai Polis Bayan Lepas di sini, lewat malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.45 malam dan lelaki berusia 31 itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.54 malam.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang membaiki sebuah kereta jenis Proton di sebuah rumah yang dijadikan bengkel.
“Kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersepit di bawah kereta itu dilakukan dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 1.02 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan yang hadir di lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah jurucakap itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.05 pagi. – MalaysiaGazette