Puteri Aishah selamat bernikah dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus pagi ini. Foto CST Production.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Puteri Aishah, 27, selamat melangsungkan majlis pernikahan dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus, 28, yang diadakan di Ballrooms JW Marriot di sini pagi ini.

Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman dinikahkan oleh kadi Ustaz Mohd Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapanya, Sulaiman Abd. Rahman.

Pada majlis itu, Puteri Aishah menerima mas kahwin RM300 berserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Sementara itu, pihak perempuan membalas dengan tujuh dulang namun jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Puteri Aishah berkata, dia sudah lama menantikan saat ini dan berharap ikatan perkahwinan akan berkekalan hingga akhir hayat.

“Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.

“Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artis yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Menurut Puteri Aishah, dia mengakui Firdaus memiliki setiap ciri-ciri lelaki idamannya.

“Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya kerana seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.

“Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi lampu hijau dimana saya boleh teruskan kerjaya ini selama mungkin,” katanya.

Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu menyaksikan Puteri Aishah dan Firdaus mengenakan busana berwarna putih.

Baju pernikahan yang digayakan mereka adalah rekaan @RizmanRuzaini .

Sementara itu, majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di JW Marriot, Kuala Lumpur, malam ini.

Puteri Aishah memulakan kerjayanya bermula selepas menjadi salah seorang peserta Dewi Remaja 2013/2014. Sejak itu, beliau telah membintangi beberapa drama antaranya Akulah Balqis, Coaster dan Selafaz Cinta.

Dia juga pernah bergelar sebagai guru pelatih di sebuah sekolah rendah dan gambar beliau pernah menjadi tular yang dikenali sebagai Cikgu Aishah. – MalaysiaGazette