Baddrol Bakhtiar.
KUALA LUMPUR – Pemain Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Irfan Fazail dikhabarkan kini berada di Kota Kinabalu, Sabah sekaligus hampir mengesahkan bekas kapten Harimau Muda A itu menjadi pemain yang dikaitkan untuk membarisi skuad Datuk Ong Kim Swee pada musim hadapan.
Berita itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya.
Ketibaan Irfan di Sabah sekali gus menjadi petanda awal bahawa pemain itu bakal diserap masuk ke skuad Sabah FC untuk saingan Liga Malaysia 2022.
Sebelum ini, Zulhelmi turut menyatakan bahawa dua orang pemain lagenda iaitu Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat memberi petunjuk yang mereka bakal bersama Kim Swee.
Baddrol, Apek dan Kim Swee telah membuat hantaran di Instagram (IG) masing-masing.
Di IG Story milik Baddrol, dia membuat hantaran berbunyi “Kenangan 2011” telah mengimbau kembali kejayaan pasukan negara suatu ketika dahulu.
Khairul pula tampil dengan hantaran berbunyi  “2011 Sea Games Champions, bersama coach Ong Kim Swee.
Hantaran mereka ini telah mendapat sambutan dan menjadi bualan hangat peminat bola sepak tempatan yang mana ramai dalam kalangan penyokong Sabah FC menginginkan skuad Kim Swee itu kembali beraksi.
Untuk rekod, pasukan negara menjadi juara Sukan SEA 2011 selepas menang ke atas Indonesia pada perlawanan akhir menerusi sepakan penalti. – MalaysiaGazette