KUALA LUMPUR – Hujan lebat hampir tiga jam sekitar Lembah Klang petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat.
Antara kawasan terlibat termasuk Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukannya menerima panggilan kecemasan pukul 7.19 malam sebelum menggerakkan dua jentera FRT bersama 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.
“Hujan lebat berterusan menyebabkan tiga kawasan itu dilimpahi banjir kilat setinggi antara 0.3 meter hingga 1.5 meter. Banjir kilat turut menyebabkan tiga penduduk terperangkap dalam kediaman yang dinaiki air dan anggota kita menjalankan operasi mengeluarkan kesemua mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Norazam, keadaan air semakin surut dan pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan sebelum memastikan keadaan benar-benar selamat.
Sementara itu, dua keluarga terdiri tiga dewasa dan lapan kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia setahun dilaporkan terperangkap di seberang sungai ketika berkelah di Air Terjun Sungai Pinang, Jalan Batang Kali dekat sini petang tadi.
“Kesemua mangsa berusia antara setahun hingga 65 tahun telah berkelah di kawasan itu sebelum terperangkap akibat air deras di sungai akibat hujan lebat.
“Bertindak atas maklumat itu, pasukan bomba dari BBP Bukit Sentosa telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kejadian pukul 7.26 malam tadi.
“Usaha menyelamatkan mangsa selesai dijalankan sekitar pukul 9.45 malam tadi dan kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.- MalaysiaGazette