Hasni Mohammad

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, berkata, langkah melantik perunding pelaburan merupakan saranan yang dibuat Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) bukannya satu pembaziran.

Beliau turut menafikan langkah melantik perunding pelaburan bagi membawa pelaburan asing masuk ke negeri itu tidak membazirkan dana kerajaan negeri dan membuang masa.

Pelantikan perunding pelaburan itu juga, katanya, bukan untuk mengenepikan usaha Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi pelaburan Johor termasuk Johor Invest.

“Johor berpendapat kita tidak perlu bergantung pada inisiatif, pelan atau rancangan pelaburan negara yang sedia ada semata-mata, namun perlu menggunakan kekuatan dan usaha sendiri.

“Langkah Johor melantik perunding pelaburan negeri supaya kita dapat beri fokus terhadap usaha menarik pelabur dari China dan negara Asia Tengah apatah lagi perunding yang dilantik membabitkan bekas duta ke Singapura dan China selain perunding antarabangsa berpengalaman luas.

“Langkah itu dilakukan kerana dunia masih terkesan pandemik yang membuatkan iklim pelaburan sudah berubah menyebabkan kerajaan negeri perlu ada rujukan, pandangan dan kajian awal pelaburan lebih rapi dibuat, jadi kita memerlukan kepakaran khas itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikiam bagi menjawab soalan tambahan Dzulkefly Ahmad (PAN-Kota Iskandar) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di sini, hari ini.

Dzulkefly ingin tahu rasional kerajaan negeri menggunakan perunding pelaburan bagi menarik pelabur luar sedangkan Johor mempunyai agensi pelaburan termasuk Johor Invest selain EXCO Pelaburan yang dilantik.

Tambah beliau, langkah melantik perunding pelaburan khas negeri itu bertujuan meningkatkan potensi pelaburan Johor bagi menarik minat pelabur asing menanam modal di Johor.

“Saya yakin ia tidak bazirkan dana kerajaan negeri dan membuang masa,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, beliau bersama EXCO Pelaburan Johor bersama perunding pelaburan akan bertemu pelabur bagi meningkatkan pelaburan asing.

“Saya amat yakin dengan saranan diberikan IJEC akan membantu Johor untuk memulihkan ekononi negeri terutama dalam membawa masuk pelaburan baharu,” ujarnya.

Sementara itu, Hasni berkata, pembangunan Zon Ekonomi Pagoh dan Taman Perindustrian Bukit Gambir bakal menjadi pemangkin pembangunan di kawasan Johor Utara.

Tambah beliau, dua projek pembangunan yang dijangka siap dalam tempoh antara lima hingga tujuh tahun itu akan mewujudkan 21,200 peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

“Malah di Zon Ekonomi Pagoh yang selesai pembangunan Fasa Pertama kini terdapat kira-kira 8,000 pelajar di Bandar Universiti Pagoh membabitkan empat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Tun Syed Nasir,” katanya. – MalaysiaGazette