Kamaruddin Jaffar

KUALA LUMPUR – Malaysia meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan pimpinan Taliban melalui saluran tertentu, kata Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau memberi contoh, pada September lalu, satu rombongan dari Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah mengunjungi pimpinan kanan Taliban.

Katanya, begitu juga saluran perhubungan dengan pihak pemerintah Afghanistan sekarang diteruskan melalui kedutaan Malaysia di Qatar yang bertujuan memastikan mereka berjaya mewujudkan sebuah negara dan masyarakat dalam sudut demokrasi.

Berhubung kedutaan Malaysia di Afghanistan, katanya, Malaysia memang mempunyai kedutaannya dalam hubungan diplomatik dengan negara itu sejak 1962 lagi.

“Diplomat atau kedutaan kita adalah melalui Pesuruhjaya Tinggi kita di New Delhi, India. Kedutaan ini juga ditauliahkan oleh Afghanistan.

“Selain itu, Afghanistan juga telah membuka kedutaan mereka di Malaysia sejak 1980 lagi dan kedutaan mereka di Kuala Lumpur turut menerima bantuan daripada kerajaan kita.

“Secara rasminya Afghanistan ada hubungan yang agak rapat dan kita memberi banyak bantuan kepada kerajaan dan negara itu sejak 20 tahun dahulu lagi,” katanya dalam sesi Jawab Lisan di Parlimen, hari ini.

Menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) telah membawa keluar semua tenteranya dari Afghanistan pada 30 Ogos 2021.

Menurutnya, tindakan itu susulan daripada proses rundingan yang telah bermula beberapa tahun lalu sebelum perjanjian damai dimeterai pada Februari 2020.

Kata Kamaruddin, kerajaan berpandangan pengunduran tentera AS dari Afghanistan itu bukan faktor utama perubahan dasar luar negara tersebut di rantau Asia Tenggara.

“Malah, dasar luar AS banyak dipengaruhi oleh pentadbiran semasa negara tersebut, yang ketika ini dipimpin oleh Presiden Biden.

“Perhatian dan penekanan dasar luar Amerika Syarikat kepada rantau Asia Tenggara sememangnya memberi cabaran serta peluang kepada negara-negara rantau ini, termasuk Malaysia.

“Kerajaan percaya penglibatan yang lebih aktif oleh Amerika Syarikat di rantau ini adalah penting dari segi diplomasi, politik mahupun ekonomi dan berpotensi membawa cabaran geopolitik di rantau ini,” katanya.

Katanya, dalam berhadapan situasi itu, kerajaan akan terus mengambil pendekatan pragmatis dan mengekalkan hubungan serta kerjasama baik dengan semua negara, termasuk AS.

Menurut beliau, pendekatan itu adalah bagi memastikan negara dapat manfaat yang penuh melalui setiap kerjasama yang terjalin.

Kerajaan juga, jelasnya, akan meneruskan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana negara kuasa besar dalam persaingan antara mereka.

“Malaysia akan sentiasa memberi penekanan pentingnya dasar dan pendekatan oleh semua pihak yang boleh menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara berdasarkan kerangka sedia ada.

“Amerika Syarikat adalah rakan penting dalam usaha kerajaan menangani pandemik Covid-19, selain diplomasi kesihatan, terdapat pelbagai bidang baharu yang boleh diterokai bagi melonjakkan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Antaranya tenaga boleh diperbaharui, robotik, kewangan, ekonomi digital, dan keselamatan siber,” kata beliau. – MalaysiaGazette