Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak pernah merahsiakan prestasi kewangan, malah telah membudayakan akauntabiliti sebagai amalan syarikat dengan pelaporan kerap mengenai perkembangan serta pencapaiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarikat minyak negara itu mengumumkan mengenai prestasi kewangan setiap suku tahun dan tahunan di laman web yang boleh diakses oleh orang awam walaupun Petronas tidak disenaraikan di bursa saham.

Di samping itu, katanya, Petronas juga mengumumkan prestasi kewangan melalui kenyataan media setiap suku tahun dan juga taklimat kepada media setiap separuh tahun.

Kata beliau, sebagai entiti komersial yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965, Petronas sentiasa mengamalkan aspek tadbir urus korporat yang baik di bawah teraju Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang berkaliber.

“Mereka dibimbing oleh barisan Lembaga Pengarah Petronas terdiri daripada wakil-wakil teknokrat, pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing di mana setiap keputusan strategik yang diambil sentiasa dinilai dan diteliti,” katanya di Parlimen, hari ini.

Kata Mustapa, Petronas juga merupakan syarikat tunggal dari Malaysia yang masih tersenarai di dalam Fortune 500 (No. 277 pada tahun 2021).

Menurut beliau, Petronas merupakan syarikat minyak dan gas milik penuh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan diperbadankan dan bertanggungjawab di dalam pembangunan sektor serta lapangan minyak dan gas domestik seperti diperuntukkan oleh Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Katanya, keberkesanan dan keupayaan Petronas dalam membangunkan sektor minyak dan gas selama ini, banyak menyumbang kepada pembangunan negara.

“Petronas mempunyai operasi huluan di lebih daripada 20 negara dan memasarkan produk hiliran seperti minyak pelincir ke lebih daripada 90 negara.

“Setakat tahun 2020, sejumlah RM1.2 trilion telah disumbangkan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri dalam bentuk dividen, bayaran tunai dan cukai,” katanya.

Justeru, kata beliau, Petronas komited untuk mengekalkan ekosistem perniagaan dan pelaburan yang stabil dan kondusif bagi pertumbuhan serta kelestarian industri minyak dan gas negara.

Ini sekali gus membolehkan penglibatan aktif kerajaan-kerajaan negeri dalam peluang pelaburan industri minyak dan gas berdasarkan terma komersial dan kebolehlaksanaan teknikal. – MalaysiaGazette