KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah mempercepatkan gelombang perubahan teknologi era pendigitalan dan ia memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan di negara ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, warga profesion teknikal di sektor awam berperanan untuk bersama-sama kerajaan membantu merancakkan kembali ekonomi negara melalui pembangunan modal insan yang inovatif dan berkemahiran tinggi.
“Ini penting bagi mempercepatkan penghasilan inovasi dan adaptasi teknologi digital yang dapat meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan seterusnya membantu pemulihan ekonomi negara,” katanya semasa berucap semasa Majlis Pra-Pelancaran Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara 2021 di sini hari ini.
Menurut Mohd Zuki, penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara adalah satu platform untuk menghargai jasa warga profesion teknikal, di samping memberi pendedahan dan memupuk minat generasi muda untuk menerokai bidang kemahiran dan teknikal.
Ini adalah seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memacu usaha bersepadu mentransformasi pembangunan sosio ekonomi negar ke arah pembangunan ekonomi digital.
“Saya difahamkan Kementerian Kerja Raya melalui Jabatan Kerja
Raya telah banyak menyumbang bakti dalam menyediakan segala
fasiliti, infrastruktur awam dan projek-projek berkepentingan demi ke arah kesejahteraan rakyat.
“Antaranya projek-projek infrastruktur pendidikan, kesihatan, pengangkutan darat, udara juga maritim yang tidak dinafikan memberi banyak manfaat kepada rakyat.
“Selain itu, khidmat kepakaran yang dicurahkan dalam bidang teknikal melalui pelbagai wadah ilmu dan penerbitan sentiasa
menjadi sumber rujukan dalam meningkatkan kompetensi personel teknikal,” katanya.- MalaysiaGazette