Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau membuat pindaan Akta Saraan Ahli Parlimen 1980 pada tahun 2003 bertujuan untuk kerajaan menimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas perdana menteri sebagai mengenang jasa mereka.

Biasanya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan yang sedia ada.

Menurutnya, ganjaran itu tidak bertujuan untuk memberi kemewahan atau kekayaan kepada bekas perdana menteri.

Jelas Mahathir, perdana menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

”Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monumen. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah kerajaan yang sedia ada,” katanya.

Mahathir berkata, beliau yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun tidak tuntut dan tidak dapat apa-apa selain pencen dan RM10,000 sebulan untuk selenggara rumah yang didirikan olehnya sendiri.

Malah, katanya, sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepadanya secara percuma apabila beliau bersara tetapi telah menolaknya.

Sebaliknya beliau membeli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara, ujar Dr. Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mendakwa setiap tahun beliau membayar cukai tanah sebanyak RM6,071 dan cukai taksiran sebanyak RM1,792.

Bekas perdana menteri itu menambah, Najib yang menghancurkan negara sehingga menjadi kleptokrasi pula akan diberi RM100 juta tanpa dilulus oleh Parlimen, bahkan dirahsia.

Menurutnya, Najib membuat permohonan sedangkan bekas perdana menteri lain tidak buat permohonan untuk tanah tertentu.

Ujar beliau, kerajaan boleh menghargai jasa seseorang perdana menteri tetapi tidaklah sampai menjadinya millionaire.

”Sumbangan mereka sebenarnya juga perlu diambil kira. Bagi seorang Perdana Menteri yang merosakkan negara sehingga dihukum penjara, perlukah kita beri hadiah sampai RM100 juta, sedangkan yang merdekakan negara diberi hanya sebuah rumah dinding papan berbumbung genting sahaja?,” soal beliau. – MalaysiaGazette