Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Seramai 47,748 tahanan penjara telah lengkap disuntik dua dos vaksin Covid-19 sehingga 16 November lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, vaksinasi itu membabitkan tahanan yang ditempatkan di 42 penjara seluruh negara.

“Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum dan mengesahkan bahawa pemberian vaksin kepada tahanan seperti di penjara dan depoh imigresen, dijalankan oleh petugas kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

“Di 21 depoh imigresen seluruh negara pula, hampir keseluruhan tahanan sudah diberi sekurang-kurang satu dos vaksin kecuali beberapa depoh di Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pemberian vaksin dos pertama di Depoh Imigresen Bekenu, Sarawak bermula 27 Julai lalu membabitkan 393 tahanan, manakala pemberian dos kedua pada 17 Ogos (377).

“Jumlah kumulatif tahanan di depoh imigresen yang telah disuntik dos pertama ialah seramai 112,324 orang dan 3,379 menerima dos kedua, berdasarkan data hingga 11 Oktober lalu,” katanya. – MalaysiaGazette