Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC).

KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu menjadikan persekitaran perniagaan yang kondusif, berdaya saing dan meningkatkan produktiviti sebagai agenda utama dalam persediaan menuju ke fasa endemik.

Berikutan itu, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini memutuskan kementerian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu komited merealisasikan program uji kaji peraturan yang melibatkan pemegang taruh awam dan swasta secara bersama menilai kecekapan dan kesesuaian peraturan sedia ada.

Ia seterusnya mencadangkan beberapa kelonggaran peraturan berpandukan saranan oleh Pertubuhan Kerjasama dan
Pembangunan Ekonomi (OECD).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu memudahcara urusan perniagaan seperti kelulusan permit pembinaan dan lesen operasi perniagaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Selain itu, inisiatif #MyMudah akan diperkukuhkan melalui penubuhan Unit #MyMudah di semua kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan.

Unit yang sama juga dicadangkan ditubuhkan di peringkat kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta persatuan industri perlu bersama-sama memudahkan operasi perniagaan.

Unit ini berfungsi untuk mengadakan semakan peraturan secara terancang bagi memudahkan persekitaran perniagaan untuk melonjakkan produktiviti dan daya saing.

Beliau berkata, mesyuarat itu, secara prinsip bersetuju untuk membangunkan Platform Acara Perdagangan Bersepadu khusus
untuk mempromosi bagi mempertingkatkan daya saing perdagangan dan nilai eksport negara secara digital selaras dengan landskap perdagangan baharu di era pendigitalan.

Portal Maklumat Tunggal iaitu portal komprehensif merangkumi semua maklumat merentasi rantaian nilai eksport untuk memudahkan syarikat Malaysia terlibat secara aktif di peringkat global juga akan diwujudkan.

Ismail Sabri berkata, satu penanda aras antarabangsa juga akan dibuat terhadap negara-negara yang dikenalpasti mempunyai persekitaran perniagaan kondusif, khususnya dalam aspek digitalisasi, model perniagaan yang efisien,
keterbukaan pasaran dan tahap sokongan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam soal meningkatkan daya saing eksport negara, aspek pendigitalan ekosistem perniagaan dikenalpasti sebagai salah komponen utama dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional (RTPN) 2021-2025 yang telah dilancarkan.

Di samping itu, tambahnya, negara juga mensasarkan peningkatan sumbangan eksport sektor PMKS daripada 8.5% pada tahun 2020 kepada 25% daripada jumlah keseluruhan eksport negara selari dengan sasaran yang ditetapkan dalam RMKe-12.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya melalui pemulihan sektor ekonomi yang akan menekankan kepada keupayaan daya saing industri dan penciptaan peluang. – MalaysiaGazette