Ketua Polis Daerah Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong . Foto AFFAN FAUZI, 25 NOVEMBER 2021.

KLANG – Lelaki dipercayai mencabul anak tirinya yang baru berusia enam tahun di sini telah direman selama enam hari.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lelaki berkenaan ditangkap semalam untuk membantu siasatan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Jelas beliau, tindakan lelaki berkenaan yang berusia dalam lingkungan 30-an didedahkan sendiri oleh kanak-kanak berkenaan yang mengadu kepada bapa kandungnya.

“Ibu dan bapa kandung kanak-kanak berkenaan telah bercerai dan menjaganya secara bergilir-gilir. Kanak-kanak itu berkata kejadian berlaku pada Isnin yang lalu di biliknya selepas balik daripada taska.

“Dia mengadu bapa tirinya memegang kemaluannya” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Hoong Fong berkata, ayah kandung kanak-kanak berkenaan bertindak membuat laporan polis sejurus selepas mendengar aduan anaknya itu.

Menurut beliau, dipercayai ibu kanak-kanak berkenaan dikatakan mendirikan rumah tangga dengan lelaki tersebut sejak Januari yang lalu.

Sementara itu, beliau berkata, salah seorang daripada lima suspek yang terlibat dalam kejadian membaling cat dan membakar sebuah kereta milik seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sekitar Klang baru-baru ini diserahkan ke IPD  Klang Utara.

Katanya suspek berkenaan dikenal lasti mempunyai kes di bawah IPD berkenaan.

Terdahulu katanya, semua suspek sebelum ini dilepaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman ditolak.

Ketika kejadian pada 18 November, kereta utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 milik seorang pegawai Kastam berusia dalam lingkungan 50-an hangus dipercayai kerana perbuatan khianat.

Menurut laporan berkenaan, siasatan awal mendapati sebelum kejadian sekitar pukul 11 pagi itu, kereta milik mangsa dilempar cat ketika berada di sebuah lampu isyarat.

Mangsa yang membawa kenderaannya ke tempat cuci kereta untuk dibersihkan di Jalan Taman Kota Pandamaran Permai dekat sini sebelum didatangi dua suspek yang kemudian didakwa telah membakar kereta penguat kuasa kastam itu.- MalaysiaGazette