Gabungan Majlis Belia Malaysia menyerahkan memorendum bantahan atas pelaksanaan penurunan had umur belia kepada 30 tahun kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Sukan, Khairul Shahril Amin di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 25 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Gabungan Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengadakan bantahan terhadap cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menurunkan had umur maksimum memegang jawatan di dalam persatuan belia daripada 40 kepada 30 tahun bermula Januari 2022.

Ketua Aktivis MBM, Fahmi Baharuddin Ashrof berkata, pihaknya seharusnya diberi ruang untuk memberikan respon dan sumbang saran terhadap cadangan yang akan dilaksanakan dengan menyertai rundingan pelaksanaan cadangan itu bagi mendapat gambaran lebih jelas berkenaan dengan aspirasi golongan belia.

“Selain itu dapat memberikan idea-idea yang lebih praktikal dari persatuan belia,” katanya ketika berucap di perkarangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Memorandum bantahan itu diserahkan Fahmi kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairul Shahril Amin.

Sebanyak 20 badan-badan belia menyertai bantahan tersebut.

Menurut Fahmi, sekiranya cadangan penuruna had umur itu  diteruskan ia pasti akan menimbulkan masalah, antaranya mencetuskan krisis kepimpinan di dalam persatuan belia sedia ada.

Tambah beliau, sekiranya cadangan itu mahu dilakukan ia perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi memberi peluang dan ruang kepada persatuan belia untuk membuat persediaan sewajarnya.

Katanya, Gabungan MBM mencadangkan supaya had umur maksimum memegang jawatan di dalam persatuan belia diturunkan kepada 35 tahun pada peringkat awal.

“Sekiranya peringkat pertama ini berjalan dengan lancar, peringkat seterusnya boleh dilaksanakan denga had umur 30 tahun.

“Cadangan ini lebih praktikal terutamanya kepada persatuan belia dan akan melancarkan proses peralihan tampuk kepimpinan,” ujarnya.

Sementara itu, Fahmi menggesa KBS memikirkan masa yang terbaik bagi melaksanakan cadangan itu berikutan ia dilakukan pada masa yang singkat dan tergesa-gesa.

Tempoh masa kurang dua bulan yang diberikan adalah tidak relevan dan menyukarkan proses peralihan kepimpinan persatuan belia, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast