Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-47 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyediakan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan tanpa faedah di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pinjaman akan dilaksanakan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) dan Agrobank untuk manfaat pengusaha tanaman sayur- sayuran dan buah-buahan yang terkesan.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai tambahan ke atas peruntukan subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang berjumlah keseluruhannya RM1.5 bilion.

Dengan ini, peladang dan pesawah akan mendapat tambahan subsidi RM100 setiap hektar untuk setiap musim, ujarnya.

“InshaAllah apabila disebut Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob tadi, saya telah menghubungi Menteri Kewangan (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) memaklumkan subsidi yang kita beri untuk harga baja dan racun masih tidak mencukupi kerana saya difahamkan NAFAS akan mengalami kerugian sebanyak RM200 juta.

“Saya telah maklumkan menteri kewangan kita perlu bantu NAFAS. Apabila kita bantu NAFAS maka secara langsung kita membantu golongan peladang, petani, dan penternak,” katanya pada majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-47 Tahun 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Zamri ketika menyampaikan ucapan berkata, NAFAS dijangka menanggung kerugian RM200 juta sehingga hujung tahun ini akibat kenaikan harga mentah.

Sementara itu, Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan akan membantu pesawah yang tiada pendapatan sementara menunggu musim menuai.

“Bagi tujuan itu kerajaan akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI) dan Kementerian Kewangan untuk mengkaji implikasi kewangan terlebih dahulu,” tambah beliau.

Terdahulu, Ismail Sabri menyifatkan para petani, nelayan, peladang masih dalam keadaan miskin.

Namun katanya, warga peladang, penternak dan nelayan menjadi tulang belakang negara dan petugas barisan hadapan atau frontliners dalam sektor agro makanan negara khususnya ketika negara berhadapan dengan  pandemik.

Justeru beliau  berharap supaya Keluarga Peladang dapat bergerak akrab dan sentiasa menjaga kebajikan antara satu sama lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast