Nasrul Ali Hassan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh berat sebelah dengan memenangkan peniaga, pengusaha ternakan, pertanian dan perikanan semata-mata tanpa melihat kesan yang menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Bebanan kos harian ditanggung kumpulan B40 ke bawah perlu dititikberatkan, terutama keluarga mempunyai tanggungan ramai serta pasangan muda baharu memulakan kehidupan dengan mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak.

Ketua Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, dua kategori itu terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kehidupan dan keluarga, malah terpaksa menanggung kos barang dapur yang tinggi setiap bulan.

“Itupun kalau mereka masak sendiri, jika terpaksa beli makanan di kedai kerana kekangan waktu bekerja untuk menyara keluarga, maka terpaksa ikat perut dan membeli sekadar mencukupi untuk memastikan ahli keluarga cukup makan.

“Persoalannya, apa pendekatan terbaik dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam mengurus kenaikan harga barang yang melampau ini?

“Banyak aduan minggu ini dengan harga sayur, ayam naik mendadak dan aduan mengenai harga makanan di premis agak melampau serta tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Nasrul Ali Hasan berkata, peniaga dan pengusaha kedai makan dari sebelum ini jika diperhatikan sejak kenaikan harga gula, minyak masak, ayam, ikan serta hasil laut lain dan pelbagai lagi keperluan memasak mula menaikkan harga jualan secara tidak terkawal.

Katanya, pemantauan yang longgar dan penetapan harga siling tidak selari dengan purata pendapatan rakyat khususnya B40 dilihat semakin menekan rakyat.

“Sedangkan gaji minimum rakyat masih sama iaitu RM1,200 dan ramai mempunyai jurang pendapatan isi rumah yang jauh bagi mencapai jumlah RM4,850 sebulan.

“Justeru, Wira Putra cadangkan kerajaan tubuh jawatankuasa khas lebih spesifik antara kementerian yang turut melibatkan para profesional, penyelidik dan NGO berkaitan.

“Tugas mereka ialah membuat penilaian kos keperluan dapur, harga makanan di kedai serta harga barang keperluan harian berdasarkan purata pendapatan rakyat khusus B40,” katanya.

Beliau berkata, Wira Putra juga mencadangkan kerajaan perkenalkan skim perbelanjaan bulanan dengan nilai tetap kepada golongan B40 ke bawah agar mereka dapat membeli barangan keperluan dengan harga subsidi atau diskaun.

Ini katanya, bagi meringankan beban rakyat kerana semua sektor barangan keperluan rumah harganya semakin meningkat, tetapi tangga gaji pekerja masih di tahap sama, tiada peningkatan.

“Kebebasan pengusaha menetapkan harga barang tanpa mengambil kira kemampuan rakyat adalah satu sifat kapitalisme tidak selari dengan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama yang didendang.

“Wira Putra tidak setuju kerajaan melindungi kapitalis yang mengambil kesempatan terhadap kesempitan rakyat di era pasca pandemik ini,” katanya. – MalaysiaGazette