Mohd Sabirin Mohd Sarbini

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang melanda sejak Mac lalu memberikan impak yang cukup besar kepada pelbagai lapisan rakyat di negara ini.

Ekonomi dalam keadaan mencabar apabila kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak Covid-19 mengakibatkan ‘poket’ pekerja dan perniagaan terjejas teruk.

Sekelip mata sahaja ada pekerja yang hilang punca pendapatan dan ada usahawan yang terpaksa menanggung hutang keliling pinggang, golongan kaya menjadi miskin dan golongan miskin pula terpaksa menjalani kehidupan yang sukar.

Sepanjang tempoh mencabar ini, peranan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi tertumpu kepada memberi bantuan beras dan keperluan makanan kepada golongan asnaf sahaja sebaliknya peranan LZS semakin meluas termasuk bantuan kewangan.

Lantaran itu, LZS mewujudkan Zakat Selangor Peduli pada Julai sehingga Disember tahun ini dengan peruntukan RM69.3 juta.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini di Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2021.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, program ini diwujudkan bagi memastikan bukan satu golongan individu sahaja yang dibantu tetapi organisasi yang terjejas akibat Covid-19 tidak terlepas mendapat perhatiannya.

Beliau berkata, Zakat Selangor Peduli ini menyasarkan 59,000 penerima individu, 431 institusi menerusi empat agenda utama dengan 19 inisiatif bantuan.

“Apabila LZS melihat pengalaman pandemik tahun pertama (2020), kami tahu kesan pandemik ini berpanjangan hingga tahun ini, sekali gus memberi impak kepada pembayar dan penerima zakat.

“Oleh itu, program Zakat Selangor Peduli ini bukan lagi menyasarkan satu kelompok individu tetapi juga organisasi yang terkesan akibat pandemik. Sebab itu program ini menyasarkan 19 inisiatif bantuan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Zakat Selangor Peduli memperkenalkan konsep bantuan yang lebih luas menerusi pelaksanaan empat agenda iaitu memenuhi keperluan fakir miskin, meringankan beban golongan rentan, bantuan pemulihan institusi agama dan menyokong barisan hadapan.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini mengatakan sesuatu dengan kakitangan LZS di Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2021.

Mohd Sabirin menjelaskan, sumbangan kepada fakir miskin dan golongan rentan yang diberikan menerusi program berkenaan antaranya adalah bantuan makanan, kewangan dan bayaran sewa rumah.

Bantuan kecemasan secara sekali bayar (one-off) sebanyak RM500 diberikan kepada golongan rentan termasuk bantuan sementara bagi melunaskan sewa rumah tertunggak kerana kehilangan pekerjaan.

Selain itu, sebanyak 10,000 bakul makanan disediakan bagi kategori ini.

Inisiatif ini mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk persatuan penduduk dan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bantuan ini juga seiring dengan projek bantuan bendera putih, yang dilaksanakan seluruh negara pada ketika itu,” tambahnya.

LZS tidak meminggirkan golongan M40 dan T20 yang tidak terkecuali merasai impak pandemik Covid-19 apabila mereka juga kehabisan wang simpanan, hingga tidak mampu membeli makanan.

“Berdasarkan pengalaman kami, masalah ini berlaku apabila keluarga golongan ini kehilangan ibu atau bapa semasa pandemik. Kita akan datang bantu apabila terima maklumat” ujarnya.

Malah, beliau berkata, golongan usahawan juga tidak ketinggalan dibantu walaupun sebelum ini mereka sangat berjaya dan berharta kerana ada dalam kalangan mereka juga terputus bekalan makanan, tiada beras di rumah kerana tiada wang.

Mohd Sabirin mengakui ada pihak yang mempertikaikan kenapa LZS menyalurkan bantuan kepada golongan ini tetapi realitinya pihaknya menyantuni semua golongan yang memerlukan bantuan jika berkelayakan.

Bangunan Lembaga Zakat Selangor di Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2021.

Bagi bantuan pemulihan institusi agama pula, Zakat Selangor Peduli hanya menyediakan bantuan bagi kerja-kerja sanitasi dan baik pulih bagi masjid dan surau disebabkan kerosakan akibat dari tidak beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

Mana-mana mahad tahfiz di Selangor yang tidak dapat beroperasi selama PKP pula layak menerima bantuan bayaran utiliti.

Menerusi agenda ketiga ini, beliau menganggarkan LZS dapat membantu lebih kurang 200 buah masjid dan surau di Selangor serta 95 mahad tahfiz di negeri Selangor.

LZS juga memperuntukkan sumbangan van jenazah berdasarkan keperluan ekoran peningkatan kes kematian akibat Covid-19.

Ujar Sabirin lagi, bagi menghargai pengorbanan barisan hadapan yang bertungkus-lumus bekerja sepanjang pandemik, LZS turut menyalurkan sumbangan makanan kering di pusat-pusat vaksin, selain peralatan seperti kerusi roda dan pakaian perlindungan diri (PPE) di hospital-hospital dalam negeri berkenaan.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini di Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 10 NOVEMBER 2021.

Sehingga Oktober lalu, sebanyak RM55 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan telah diagih-agihkan kepada semua golongan sasaran di bawah Zakat Selangor Peduli.

Mengulas peningkatan jumlah golongan yang memerlukan bantuan, beliau berharap lebih ramai pengeluar zakat di Selangor tampil melunaskan tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, walaupun terdapat peningkatan pembayaran zakat pada tahun lalu namun LZS masih memerlukan zakat daripada satu juta individu yang dianggar layak mengeluarkan zakat bagi penduduk Selangor.

LZS merekodkan kutipan zakat sebanyak RM913 juta pada tahun lalu.

Daripada penelitian LZS, jumlah kutipan itu hanya membabitkan 350,000 orang individu termasuk syarikat.

‘’Jadi masih ada ruang lagi. Kepada pembayar kami sarankan segeralah menunaikan tanggungjawab itu,” katanya. – MalaysiaGazette