Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor membentangkan perbelanjaan berjumlah RM 2.343 bilion bagi Belanjawan 2022.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM1.220 bilion atau 52 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.123 perbelanjaan pembangunan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah RM2.050 bilion dengan penyumbang utama hasil adalah premium tanah iaitu sebanyak RM906.33 juta bersamaan 44.21 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.

Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM549.30 juta bersamaan 26.79 peratus manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian Persekutuan berjumlah RM189.81 juta bersamaan 9.26 peratus.

”Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2.1 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.323 bilion, maka Belanjawan 2022 akan mengalami defisit berjumlah RM222,718,439 lebih tinggi berbanding tahun 2021,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Selangor hari ini.

Belanjawan itu memberi fokus tiga perkara utama iaitu rakyat, komuniti
perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri

Menurutnya, anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.220 bilion bagi tahun 2022 merangkumi perbelanjaan bagi emolumen berjumlah RM446.73 juta, perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM530.81 juta, aset berjumlah RM11.79 juta, pemberian dan
kenaan bayaran tetap berjumlah RM191.14 juta serta RM39.53 juta untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan merupakan komponen terbesar mencakupi 43.51 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Jumlah ini termasuk antaranya kenaikan elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Baru/Bagan dan Ketua Komuniti India (KKI) sebanyak RM3.9 juta, peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan Petugas Masjid RM6.5 juta serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah (MRS) berjumlah RM17.67 juta.

Amirudin berkata, bagi belanja mengurus, Kerajaan Negeri Selangor meneruskan instrumen kawalan perbelanjaan Jabatan dengan pengurangan dua peratus peruntukan mengurus sedia ada setiap Jabatan dengan anggaran penjimatan sebanyak RM18.9 juta.

”Instrumen kawalan perbelanjaan ini akan lebih inklusif dan berhasil sekiranya setiap Jabatan turut mengoptimumkan sumber manusia dengan prinsip doing more with less, pengautomasian proses kerja dan pengurusan kewangan yang cekap tanpa menjejaskan prestasi, produktiviti dan kualiti penyampaian perkhidmatan.

”Berikutan penurunan aktiviti ekonomi pada tahun 2021 ini, kerajaan negeri mengambil tindakan yang proaktif dalam melaksanakan beberapa semakan terhadap anggaran hasil pada Mac 2021 dan juga Julai 2021,” katanya.

Dengan semakan yang dilakukan secara berkala ini, kerajaan negeri telah merangka beberapa strategi bagi mencapai anggaran hasil yang disasarkan pada tahun lepas.

Kerajaan negeri telah memutuskan untuk mengadakan satu instrumen kawalan bagi mengawal perbelanjaan dengan mengehadkan kadar perbelanjaan mengurus dan pembangunan tahun 2021 setiap Jabatan kepada maksimum 95% dan 75% sahaja.

Ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa siap siaga ketika berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi.

Belanjawan 2022 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.123 bilion dan daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya adalah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi yang mana pembangunan infrastruktur masih terus menjadi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM351.78 juta atau 31.33 peratus.

Sebanyak RM301.57 juta ataupun 26.85 peratus pula diperuntukkan bagi tujuan pembangunan sosial dan RM292.28 juta pula diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi, iaitu bersamaan dengan 26.03 peratus. – MalaysiaGazette