Daun ketum seberat 1,322 kilogram dalam puluhan guni hitam dalam sebuah trak pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan Isuzu berjaya dirampas ATM semasa rondaan Op Benteng di sempadan negara di utara Semenanjung pada 24 November lalu..- Gambar Ihsan Markas Divisyen Infantri Malaysia

KUALA LUMPUR – Penemuan sebuah trak pacuan empat roda tanpa pemilik membawa kepada pembongkaran sindiket penyeludupan daun ketum di sempadan utara Semenanjung.

Pasukan rondaan anggota tentera Malaysia berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup daun ketum seberat 1,322 kilogram (kg), kata Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tersebut berlaku di trek menghala ke Batu Sempadan 29/190 sektor Operasi Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Sebuah trak pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan Isuzu berjaya dirampas ATM semasa rondaan Op Benteng.- Gambar Ihsan Markas Divisyen Infantri Malaysia

“Pada 24 November lalu pada pukul 5.03 petang, tim ronda di sempadan Malaysia dan Thailand di kawasan Kuala Nerang telah berjaya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero, sebuah Isuzu Trooper, empat motosikal iaitu tiga unit Honda dan seunit Yamaha dan juga mata wang Malaysia, mata wang Thailand, telefon bimbit dan termasuk sejumlah guni serta plastik hitam.

“Kesemua barang itu ditemui dalam kenderaan Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper disyaki daun ketum seberat 1322 kg di lokasi laluan trek menghala ke Batu Sempadan 29/190.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 77,384.88,” kata kenyataan yang sama.

Daun ketum seberat 1,322 kilogram dalam puluhan guni hitam dalam sebuah trak pacuan empat roda jenis Mitsubishi dan Isuzu berjaya dirampas ATM semasa rondaan Op Benteng di sempadan negara di utara semenanjung 24 November lalu.Gambar Ihsan Markas Divisyen Infantri Malaysia

Bagaimanapun, kesemua suspek melarikan diri kearah kawasan hutan apabila menyedari kehadiran tim ronda yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

Menurut markas berkenaan, kesemua barang rampasan itu telah dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan beroperasi sentiasa bersedia mengawal sepanjang masa dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara,” tegasnya.-MalaysiaGazette