Gimik penyerahan replika cek sumbangan akaun Simpan SSPN Prime daripada Tuan Ibrahim kepada Azhar berjumlah RM100,000.- MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sentiasa komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Ia termasuk bagi memastikan setiap ibu bapa di negara ini menyediakan perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak melalui akaun Simpan SSPN dari seawal usia.

Hari ini Pejabat Ahli Parlimen Kubang Kerian di Kelantan telah memberi sumbangan sebanyak RM100,000 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime di di Pejabat PTPTN Negeri Kelantan.

“Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dengan setiap pelajar menerima sebanyak RM50 yang akan dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime.

“Sumbangan ini adalah sebagai pendorong kepada ibu bapa dan anak-anak agar memulakan penabungan bagi tujuan
pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air.

Pada majlis itu, Tuan Ibrahim menyerahkan replika cek kepada Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad.

Ini merupakan pejabat Ahli Parlimen pertama di Kelantan yang memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime untuk kebajikan pelajar di kawasan Parlimen berkenaan.

PTPTN mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dalam bentuk akaun SSPN Prime dan pemberian sumbangan itu jelas menunjukkan keprihatinan dan sokongan padu pelbagai pihak khususnya ahli Parlimen berkenaan
dalam aspek pendidikan.

“Semoga usaha ini menjadi contoh dan ikutan kepada pejabat
ahli Parlimen-Parlimen lain di seluruh Malaysia bagi memastikan anak-anak Malaysia mempunyai tabung simpanan terbaik untuk masa depan pendidikan mereka,” kata kenyataan yang sama.

Simpan SSPN Prime merupakan produk simpanan pendidikan di bawah PTPTN yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Antara kelebihan produk ialah kadar dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, perlindungan takaful secara
percuma, simpanan yang dijamin Kerajaan dan patuh syariah.

Maklumat lanjut dan untuk pembukaan akaun baharu Simpan SSPN Prime boleh layari www.lovesspn.com.- MalaysiaGazette