Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengumumkan keputusan mengenai bantuan kewangan kepada pemain industri pertanian dalam masa terdekat, sebagai kaedah meringankan beban kos operasi yang telah memberi impak kepada harga barangan di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Kementerian Kewangan (MOF) pada 24 Nov lepas (Rabu).

“Sesi perjumpaan dan perbincangan telah diadakan dengan MOF.

“MOF secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan saranan cadangan daripada kedua-dua kementerian. Sebarang keputusan berkaitan bantuan kewangan kepada pemain industri akan diumumkan oleh MOF,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata bantuan kewangan yang bakal diberikan kepada pemain industri pertanian itu dijangka mampu menyerap lonjakan kos yang terpaksa ditanggung pengguna.

Nanta berkata pertemuan antara tiga pihak itu dibuat hasil dapatan daripada pertemuan antara Jawatankuasa Bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) dan MAFI bersama pihak berkepentingan serta pemain industri pertanian.

“Melalui sesi libat urus yang telah dijalankan, pemain industri yang terkesan telah memaklumkan keperluan mereka untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada kerajaan bagi membantu meringankan beban kos operasi,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP sentiasa peka dan prihatin terhadap sebarang isu berkaitan kenaikan harga barangan terutama makanan serta keperluan asas yang membebankan rakyat di negara ini.

Justeru katanya, pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga KPDNHEP secara proaktif akan memantau dan memeriksa harga barang di seluruh negara bagi memastikan harga barangan termasuk sayur-sayuran berada dalam keadaan stabil.

“Tindakan akan dikenakan ke atas mana-mana peniaga di setiap rantaian bekalan sekiranya terdapat unsur pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Seksyen 14(1) AKHAP 2011 memperuntukan sekiranya disabit kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Nanta menasihatkan pengguna untuk menggunakan aplikasi Price Catcher yang dibangunkan KPDNHEP untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai harga barangan keperluan asas.- BERNAMA