Gambar hiasan. - Foto AFFAN FAUZI

GEORGE TOWN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengesahkan tiga jenis sayur mengalami kenaikan harga di negeri ini.

Sayur-sayuran itu adalah cili akar merah yang mengalami kenaikan kira-kira RM5 apabila dijual pada harga antara RM15 hingga RM20 berbanding RM13 hingga RM15 sebelum ini.

Selain itu, kacang buncis turut mengalami kenaikan kira-kira RM3 sekilogram berbanding RM12 hingga RM14 sebelum ini manakala kubis bulat import naik daripada RM4 hingga RM5 sekilogram kepada RM5 hingga RM7.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya telah mengeluarkan lapan notis pengesahan maklumat barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kepada pengimport, pengeksport dan pemborong sayur di sini sejak Rabu lalu sehingga kelmarin.

Mohd Ridzuan.

Kata beliau, pihak KPDNHEP juga telah mengeluarkan 46 notis pengesahan maklumat barangan dan lima notis bertulis di bawah seksyen sama kepada peniaga sayuran sepanjang tahun ini untuk memberikan maklumat berkenaan kenaikan harga barangan tersebut.

“Berdasarkan pemeriksaan pada Isnin lalu sehingga kelmarin di pasar awam, terdapat beberapa jenis sayuran yang mengalami kenaikan harga dan ada beberapa jenis sayuran yang mengalami penurunan harga.

“Bagaimanapun, harga sayuran di pasar raya adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang ditawarkan di pasar awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohd Ridzuan berkata, sebanyak 47,578 pemeriksaan berkaitan harga barang telah dilakukan dan daripada jumlah itu 373 kes dikompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan nilai RM46,850. 

“Selain itu, sebanyak 374 notis pengesahan maklumat barangan dan 139 notis bertulis di bawah seksyen sama telah dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga barangan.

“Malah, kita juga menerima 237 aduan berkaitan harga dan 133 daripadanya melibatkan harga barang yang mahal.

“Pihak kami juga telah membuka 26 kes untuk tindakan sepanjang tahun ini,” kata Mohd Ridzuan. – MalaysiaGazette