‘SEMBOYAN telah berbunyi, menuju medan bakti’
Pasti ramai antara kita yang sudah biasa mendegar bait lirik ini. Ia sangat sinonim dengan
perajurit tanah air di mana ia melambangkan kesediaan mereka untuk berjuang dan rela mati kerana negara. Namun, secara simboliknya ia juga dapat dikaitkan dengan perjuangan para pelajar kita yang berada di menara gading yang bertungkus lumus bersengkang mata memerah keringat berjuang untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang yang dipelajari.
Justeru, Hari Konvokesyen merupakan hari penghargaan buat mereka melalui
penganugerahan ijazah akademik kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pengajian. Sambutan Hari Konvokesyen sebelum ini dilihat amat pudar dan hambar disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Namun, setelah lebih dua tahun negara berada dalam keadaan pandemik , barulah kini ‘seri’ Majlis Konvokesyen kembali apabila pada tahun ini ia dapat dijalankan secara fizikal sepenuhnya. Rata-rata universiti meraikan hari bersejarah tersebut mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Hari Konvokesyen bukanlah pengakhiran kepada sebuah perjuangan. Ia merupakan
semboyan yang menandakan bermulanya perjalanan dan perjuangan bagi para graduan dalam melangkah ke alam pekerjaan dan sebagainya. Ada graduan yang meneruskan kecemerlangan dengan mendapat pekerjaan.
Tidak kurang juga, ada yang membuat keputusan untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, ada juga yang kurang bernasib baik di mana mereka masih bergelut dalam mencari pekerjaan dan kemelut pengangguran.
Berdasarkan statistik, kadar kebolehpasaran graduan di Malaysia berada pada kadar melebihi 80 peratus dicatatkan sejak tahun 2018 iaitu sebanyak 80.2 peratus. Manakala kebolehpasaran belia pada tahun 2020 sebanyak 84.4% berbanding 86.2% pada tahun 2019 iaitu tahun sebelum krisis.
Secara amnya, sistem pendidikan merupakan penyumbang utama dan tunjang kepada
pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Selain menyediakan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada generasi kini, ia merupakan katalis kepada kreativiti dan penjana inovasi yang mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi
keseluruhannya.
Di dalam era digitalisasi dan pandemik COVID-19 ini, para graduan harus
sentiasa mempersiapkan diri mereka menghadapi masa hadapan yang tidak menentu ini.
Graduan harus pantas beradaptasi dan melakukan penyesuaian kendiri dalam mengharungi era norma baharu.
Selain mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidang yang diceburi, para graduan haruslah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan asas etika yang mantap, serta memperkasakan daya tahan dan melengkapkan diri dengan tujuh tunjang utama kemahiran insaniah. Keupayaan berkomunikasi, berinisiatif, berfikiran kritikal dan sentiasa berkeyakinan merupakan antara elemen penting yang memaparkan keterampilan graduan yang mampu memikat hati majikan dalam pasaran kerja.
Syukurlah, di atas keprihatinan pihak kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang telah mengambil langkah proaktif dan wajar menyediakan pelbagai inisiatif sokongan kepada graduan dengan memberi fokus meningkatkan kebolehpasaran melalui program Penjana KPT-CAP (Career Advancement Programme). Penjana KPT-CAP merupakan langkah yang diambil kerajaan dalam usaha mengatasi pengangguran dan mengurangkan lambakan graduan dalam sektor pekerjaan.
Ia memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu program latihan dan perantisan, padanan pekerjaan berpandukan kelayakan graduan dan pembangunan bakat keusahawanan. Justeru, para graduan haruslah memanfaatkan ruang dan peluang yang ada ini agar apa jua ilmu dan kemahiran yang digali semasa di universiti dapat digunakan untuk berbakti kepada nusa dan bangsa. Ingatlah, setiap kejayaan tidak akan datang bergolek. Para graduan haruslah sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan bertekad menjadi individu yang berkualiti dari segenap aspek agar mereka dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan graduan lain di peringkat global.
Dr. Abdul Rashid Bin Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)