Ismail Sabri Yaakob ketika berucap di Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan hari ini adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal tentang perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

Jelasnya, ia bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting.

Lima strategi itu ialah memelihara sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, kedua membentuk masyarakat yang menghargai dan mengamalkan perpaduan, ketiga memperkasakan sosio-ekonomi yang qdil dan saksama, keempat menjamin keterbukaan dan toleransi terhadap perbezaan agama dan tradisi kebudayaan dan kelima membina masyarakat progresif melalui sains, teknologi dan inovasi.

”Pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi. Ini mampu memanfaatkan Keluarga merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

”Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran itu.

Katanya lagi, kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang diperoleh seharian untuk membentuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.

“Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Oktober yang lalu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pelan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang juga dilancarakan hari ini merupakan satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

Katanya, pelan yang merakyatkan perpaduan itu akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau nama ringkasnya KAMI iaitu K bermakna – Karib; A – Aksesibiliti; M – Majmuk dan I – Inklusiviti.

“Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

”Kita impikan kemakmuran bersama antara Keluarga Malaysia kerana ia merupakan asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara ini dan diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette