Suami kepada arwah Siti Sarah Raissuddin, Shahmira Muhamad yang dikenali Shuib hadir di perkarangan bilik mayat susulan isterinya yang meninggal akibat Covid-19 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 09 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Perbualan terakhir di antara Shuib dan Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin diabadikan dalam sebuah lirik lagu ‘Tinggalkan Diriku’ nyanyian isterinya.

Perbualan yang diselit dalam lirik lagu ciptaan Aidit Alfian ke dalam sebuah video muzik (MV) itu menjadi tular di media sosial dan mengundang kesedihan.

Shuib berkata, lagu itu didengarinya enam hari selepas pemergian Siti Sarah selepas dijangkiti Covid-19.

Antara bait perbualan pasangan itu adalah semangat yang diberikan Shuib kepada Siti Sarah sebelum beliau ditidurkan kerana kekurangan oksigen.

“Enam hari selepas pemergian Allahyarham Siti Sarah, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakamkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018.

“Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu itu. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi nanti. Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang,” katanya.

Untuk rekod, lagu berkenaan dirakamkan pada tahun 2002 dan dirilis pada 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

Tinggalkan Diriku sudah berada di semua platform digital sejak 26 November 2021 dan Music Video (MV) pula akan disiarkan melalui YouTube Shuib Channel mulai pukul 3 petang.

Sehingga kini, video itu mendapat tontonan sebanyak 986,268 pengguna.-MalaysiaGazette