KUALA LUMPUR – Penyerang import Terengganu FC, Jordan Mintah dilaporkan akan kekal bersama kelab dari Pantai Timur itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pemain berusia 26 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC selepas skuad Gergasi Merah itu kehilangan khidmat penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Ifedayo Olusegun.
Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Mintah dalam saingan Liga Primier menarik minat ketua jurulatih skuad utama, Nafuzi Zain bagi memberi peluang kepada pemain itu untuk mengisi barisan serangan pasukan dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Keputusan tersebut nyata membuahkan hasil apabila Jordan Mintah menjaringkan lima gol dalam saingan Piala Malaysia dan membantu pasukan mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tewas kepada juara bertahan iJDT dengan agregat 4-1.
Seorang lagi pemain import Terengganu FC dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Malaysia yang lain adalah Makan Konate yang mana Selangor dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu.
Konate kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini setelah tiga musim beraksi di Indonesia bersama Sriwijaya, Arema dan Persebaya Surabaya. – MalaysiaGazette