Seorang wanita dari Terengganu merupakan salah seorang daripada 43 orang di seluruh dunia yang memiliki kumpulan darah yang paling sukar ditemui - Foto Facebook Derma Darah Terengganu Kite

KUALA LUMPUR – Seorang wanita dari Terengganu baru-baru ini dikesan salah seorang daripada 43 orang di seluruh dunia memiliki kumpulan darah yang paling sukar ditemui iaitu Rhnull.

Wanita itu merupakan rakyat Malaysia pertama yang dikenal pasti memiliki jenis darah Rhnull atau dikenali The Golden Blood.

Jenis Rhnull dianggap ‘darah emas’ oleh sesetengah pihak.

Melalui perkongsian dari Facebook Derma Darah Terengganu Kite, darah yang didermakan oleh wanita tersebut akan dihantar ke Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur untuk disejuk bekukan.

Wajah wanita yang sedang menderma darah itu dipaparkan namun namanya tidak didedahkan.

Difahamkan, darah tersebut akan disimpan di dalam peti nitrogen dengan suhu -80 darjah celsius.

Darah istimewa itu akan disimpan selama 10 tahun dan sekiranya ada pesakit yang memerlukannya ia akan dicairkan sebelum digunakan.

Meninjau komen yang ditinggalkan orang ramai pada hantaran di media sosial tersebut, rata-rata menyatakan kekaguman dengan penemuan darah Rhnull di Malaysia.

Tidak kurang juga ada yang menasihatkan wanita istimewa itu untuk menjaga kesihatan dan kerap menderma darah untuk kegunaan beliau sendiri sekiranya diperlukan.

Laman Facebook itu juga menyatakan  ahli keluarga wanita tersebut tidak mempunyai jenis darah seperti yang dimilikinya dan menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan oleh mutasi gen. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast