SHAH ALAM – Exco Kesihatan Awam Selangor, Dr. Siti Mariah Mahmud hari ini membuat pembetulan kepada jawapan dalam sesi pertanyaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam berkaitan peratusan penduduk dewasa divaksinasi.
Katanya, dalam jawapan kepada soalan ADUN Bukit Lanjang semalam, beliau memaklumkan sebanyak 87.8 peratus penduduk Selangor berumur lebih 18 tahun telah divaksin.
“Saya telah menerima pembetulan fakta daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi jumlah peratusan penduduk dewasa yang berumur 18 tahun ke atas bagi negeri ini yang telah divaksinkan.
“Jumlah sebenar peratus berumur 18 tahun ke atas yang telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos ialah 94 peratus atau bersamaan 4,276,563 daripada jumlah populasi 4,551,800 orang,” katanya.
Dalam jawapan semalam, beliau menyatakan sebanyak 87.8 peratus penduduk Selangor berumur lebih 18 tahun yang telah divaksin sekurang-kurangnya satu dos. – MalaysiaGazette