Immigration Department cartels Hamzah Zainuddin
Home Minister, Datuk Seri Hamzah Zainudin at a news conference after celebrating the Immigration Day 2021 at the Home Ministry in Putrajaya.PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Imigresen 2021 di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendedahkan wujud kartel-kartel dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

Menurutnya, kartel-kartel tersebut menggunakan pegawai-pegawai JIM untuk melakukan sindiket mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sebagai contoh, katanya, terdapat kartel yang bergerak dalam JIM Sabah yang mendakwa ejen mewakili jabatan berkenaan untuk kemudahan mendapatkan pas berkenaan.

”Kartel ini bukan hanya mahu naik pangkat, tetapi kartel ini menggunakan pegawai-pegawai tertentu untuk bekerjasama dengan sindiket luar.

“Contohnya di Sabah baru-baru ini Timbalan Menteri II memaklumkan kepada saya, ada iklan bahawa sesiapa nak pas PLKS boleh berjumpa dengan orang ini.

”Ini sesuatu yang tidak bertanggungjawab, ia tidak boleh berlaku sekiranya mendapat pas PLKS yang sah tanpa penggunaan pegawai dalaman kita,” katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Imigresen 2021.

Sehubungan itu, Hamzah memberi jaminan akan menyiasat maklumat yang diterima dan mengambil tindakan tegas kerana menjejaskan imej dan mencalarkan intergriti jabatan tersebut.

Malah, dedah beliau lagi, ada kartel yang menjalankan sindiket seolah-olah menjadi ejen JIM sehingga berani mengiklankan aktiviti mereka di media sosial.

”Ini adalah salah satu yang menyalahgunakan perkhidmatan yang sepatutnya dibuat secara mudah tapi seolah-olah ada pula agensi di luar sana yang bertanggungjawab mendapatkan suatu perkhidmatan JIM.

“Itu tidak patut berlaku kerana kita mempunyai mana-mana ejen untuk mendapatkan perkhidmatan JIM,” tambah beliau lagi.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata, kewujudan kartel-kartel yang bebas keluar masuk di JIM, juga berlaku di pintu-pintu masuk negara termasuklah di lapangan-lapangan terbang.

Jelas beliau, tindakan tidak bertanggungjawab ini telah mengheret persepsi buruk rakyat terhadap intergriti JIM.

“Kalau kita tekan sahaja Google, isu imigresen paling utama adalah kes-kes korupsi, intergeriti, kes-kes yang paling menjijikkan. Kenapa perkara ini perlu berlaku dalam negara kita atau dalam JIM?

“Oleh itu, saya minta semua pegawai elak perkara ini terus berlaku dan memahami bahawa tanggungjawab kita adalah mempertahankan negara.

“Kalau mereka (kartel) mudah masuk, mereka boleh menjual apa sahaja yang ada pada kita secara mudahnya, bermakna mereka tidak menjaga kedaulatan negara kita,” tegas beliau.

Hamzah menegaskan, JIM perlu mengelakkan isu intergriti terus membelenggu jabatan berkenaan sebaliknya berusaha mencapai standard dunia dalam menyampaikan perkhidmatan secara telus kepada rakyat.- MalaysiaGazette