Sekolah Tinggi Oxford dikepung polis selepas kes tembakan yang menyebabkan tiga pelajar maut. foto AP

LANSING – Tiga pelajar terbunuh dan lapan lagi cedera, termasuk seorang guru, dalam kejadian tembakan di sebuah sekolah menengah di negeri Michigan, Amerika Syarikat (AS).

Pelajar yang maut termasuk seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan dua orang gadis masing-masing berusia 14 tahun dan 17 tahun, kata polis.

Polis berkata, suspek yang berusia 15 tahun itu melepaskan 15 hingga 20 das tembakan dengan pistol separa automatik dan dia bertindak sendirian.

Motif serangan di bandar Oxford itu, kira-kira 40 batu (65km) dari Detroit, masih tidak jelas.

Polis yang mengadakan sidang media di luar perkarangan Sekolah Tinggi Oxford berkata, ia menerima panggilan kecemasan pada jam 12.51 waktu tempatan (17:51GMT).

Dalam beberapa minit, sebanyak 100 panggilan ke 911 diterima, katanya.

Suspek, seorang pelajar lelaki tahun dua, menyerah diri lima minit selepas polis dipanggil.

Seorang pegawai polis yang ditempatkan di sekolah itu membantu menahan suspek, katanya.

Tiada tembakan dilepaskan semasa penahanan itu, dan remaja itu tidak cedera.

“Dia menyerah tanpa sebarang masalah,” kata polis sambil menambah suspek telah berada di dalam kelas sebelum tembakan bermula.

Sekolah itu telah dikepung dan polis telah melakukan pemeriksaan di seluruh sekolah bagi memastikan tiada mangsa tambahan.

Dua daripada yang cedera sedang menjalani pembedahan, manakala enam lagi dalam keadaan stabil.

Menurut polis, suspek setakat ini enggan bercakap dan tidak mahu memberi kerjasama.

Tambahnya, suspek telah diberitahu oleh ibu bapanya supaya tidak bercakap dengan polis dan pemeriksaan sedang dijalankan di rumah suspek.

Suspek tidak memakai perisai badan semasa tembakan dan polis sudah mengetahui bagaimana pistol itu dibawa masuk ke sekolah, tetapi masih belum dapat mendedahkan butiran itu.

“Sudah tentu saya terkejut. Hati saya sungguh sedih,” kata Pengetua sekolah Tinggi Oxford, Tim Throne.

Gabenor Michigan Gretchen Whitmer menyifatkan kes tembakan di sekolah sebagai “masalah unik Amerika yang perlu kita tangani”.

Tembakan AS di kawasan sekolah semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut kumpulan kawalan pro-senjata Everytown.

Selepas penurunan singkat tahun lalu semasa penutupan sekolah akibat koronavirus, jumlah serangan sedemikian telah meningkat semula dengan 138 insiden tembakan di kawasan sekolah setakat ini pada 2021. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast