Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menempelak Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok kerana mengeluarkan kenyataan membantah cuti khas untuk Wilayah Persekutuan esok.

Katanya, Teresa tidak wajar mempertikai keputusan tersebut kerana ia merupakan penghargaan terhadap seluruh warga Wilayah Persekutuan di atas kemenangan yang KL City FC yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama.

Malah katanya, pemberian cuti tersebut telah dimaklumkan di peringkat Kabinet dan Perdana Menteri juga bersetuju dengan perkara itu.

“Sepatutnya Seputeh (Teresa) ucap terima kasih, kalau saya pergi ke Facebook sekarang majoriti warga Wilayah akan menyokong saya tentang cuti yang diberikan.

“Semua ahli Parlimen seronok. Yang Berhormat kalau tak reti menghargai bola, ini adalah ulang tahun ke-100 tahun KL City dan menang Piala Malaysia, kita beri kelegaan untuk warga wilayah bercuti pada hari Jumaat.

“Kita tak beri cuti serta-merta pada esok hari yang diamalkan oleh negeri-negeri yang menang Piala Malaysia, tapi kita beri tempoh sehingga Jumaat setelah saya merujuk kepada pihak kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, pada pada sesi perbahasan sebelah petang Teresa mengkritik langkah pemberian cuti khas di Wilayah Persekutuan susulan kemenangan KL City FC pada perlawanan Piala Malaysia Selasa lalu.

Beliau menganggap cuti tersebut tidak wajar kerana menyusahkan banyak pihak lebih-lebih lagi kebanyakan pelajar sekolah ketika ini sedang menghadapi peperiksaan..

Mengulas lanjut Shahidan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan banyak pihak dan beliau bukan memandai-mandai menggunakan kuasa untuk mengumumkannya.

Katanya, perkara itu difikirkan selepas pihaknya menerima tekanan daripada warga Wilayah Persekutuan yang mahu agar cuti diberikan bagi meraikan kemenangan tersebut.

Tambahnya, cadangan itu mendapat perhatian Perdana Menteri sebelum dirujuk pula kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) hingga akhirnya keputusan dibuat dan beliau hanya mengumumkannya sahaja. – MalaysiaGazette

Teresa kritik pemberian cuti khas Wilayah Persekutuan esok