Hamdan.

IPOH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak mengesahkan hujan berterusan sejak dua minggu lalu menyebabkan kelemahan pada struktur tebing jalan sekali gus menjadi punca kejadian tanah runtuh di Jalan Persekutuan Laluan FT 185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) di sini, semalam.

Timbalan Pengarah JKR Perak, Ir Hamdan Ali berkata, lokasi tanah runtuh itu tidak tersenarai sebagai lokasi cerun berisiko tinggi dan kejadian semalam luar jangkaan pihaknya.

Kata beliau, terdapat tiga cerun berisiko tinggi dikenal pasti di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini iaitu antara Seksyen 38 dan 46.

“Kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 ini merupakan insiden pertama kali.

“Siasatan juga mendapati tanah runtuh itu berlaku berikutan taburan hujan yang konsisten sejak dua minggu lalu yang mana 217 milimeter tolok hujan direkodkan sekali gus melemahkan keseluruhan struktur tebing tersebut.

“Selain itu, runtuh yang berlaku ini merupakan runtuh besar dengan berukuran 10,000 meter padu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada wujud aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan, Hamdan menafikan berlaku aktiviti seumpama itu di situ.

Mengulas lanjut Hamdan berkata, JKR akan menjalankan kerja-kerja pembersihan berikutan jumlah tanah yang tinggi yang menghalang kedua-dua arah diikuti pengurusan trafik sebaik laluan itu dibuka semula.

Selain itu, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan di cerun dengan bantuan pakar cerun bagi menentukan langkah penyelesaian jangka panjang.

“Sekurang-kurangnya kita perlukan masa seminggu untuk membersihkan kawasan ini dan laluan ini dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada 9 Disember ini.

“Bagaimanapun, kos untuk membaiki cerun itu masih belum ditentukan,” kata beliau.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan, setakat ini dua mangsa dilaporkan maut akibat terperangkap dalam timbunan tanah runtuh tersebut.

Mereka terdiri daripada pemandu lori sayur, Muhammad Hafiz Hamdi, 31 yang berasal dari Tanjong Piandang manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, berasal dari Klang, Selangor. – MalaysiaGazette