Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyiasat dakwaan wujud aktiviti menjual lesen memandu secara haram didalangi anggotanya.

Menurut satu kenyataan, agensi itu memandang serius dakwaan berkenaan dan akan memanggil seorang pempengaruh media sosial atau influcer bernama Azrul Affandy Sobry untuk membantu siasatan.

“Individu berkenaan membuat pendedahan kononnya terdapat pegawai JPJ yang terbabit secara langsung dalam aktiviti menjual lesen memandu dengan menerima wang sogokan biarpun pelajar tidak melepasi ujian yang ditetapkan di institut memandu.

“JPJ mengambil serius kenyataan tersebut dan siasatan segera akan dilakukan dengan kerjasama pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Menurut kenyataan itu, agensi tersebut tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang melibatkan warga kerjanya sekiranya dakwaan itu benar.

Sehingga kini beberapa siri siasatan SPRM sudah dijalankan seperti yang dilaporkan oleh media, contohnya pada 2018, ujarnya.

Pada malam tadi menerusi video bertajuk ‘Lesen Gerenti Lulus’ di media sosial, individu terbabit mendakwa wujud tawaran di platform media sosial untuk mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

Dalam video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri dan kegiatan sedemikian sudah beberapa kali didedahkan media sejak 2014. – MalaysiaGazette