Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohamed Azman Aziz Mohammed

KUANTAN – Sebanyak RM580 juta telah diagihkan kepada pekerja dan majikan bawah Program Subsidi Upah (PSU) PERKESO di negeri ini dari April 2020 sehingga kini.

Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohamed Azman Aziz Mohammed berkata, usaha tersebut telah menyelamatkan 13,000 perniagaan dan majikan di Pahang daripada ditutup.

“Ia sekaligus mengekalkan 95,000 pekerja daripada kehilangan mata pencarian secara mendadak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

PSU membantu majikan meneruskan operasi dan mengekalkan pekerja mereka selepas terkesan akibat penularan wabak Covid-19, pada masa sama bertujuan untuk lebih membantu pekerja dalam golongan B40.

PSU adalah peruntukan kerajaan yang disalurkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRIHATIN) untuk majikan, sekali gus membantu pekerja yang berpendapatan RM4,000 ke bawah mengekalkan pekerjaan mereka.

Sementara itu, Mohamed Azman berkata, sebanyak RM1.07 bilion telah diluluskan di bawah Program pengambilan Pekerja dan Program Latihan (PENJANA).

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM30.28 juta telah diagihkan kepada majikan dan pekerja di negeri ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azman memberitahu, seramai 809 pekerja hilang pekerjaan di Pahang sehingga November 2021 yang mana majoritinya di daerah Kuantan, Temerloh dan Mentakab. – MalaysiaGazette