Hermono.

GEORGE TOWN – Rumusan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) pengambilan pekerja warga Indonesia ke Malaysia masih belum dimuktamatkan.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, pihaknya sedia maklum berhubung keadaan Malaysia yang berdepan dengan isu kekurangan pekerja asing, namun keputusan untuk menghantar warganya masih dalam perbincangan.

Jelas beliau, isu keselamatan serta penularan varian baharu wabak Covid-19 menjadi pertimbangan utama Indonesia untuk menghantar semula warganya ke negara ini.

“Perbincangan untuk pengambilan pekerja dari Indonesia memang diutarakan Perdana Menteri Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sebelum ini.

“Malah, pihak kami juga sedia maklum volume tenaga kerja warga Indonesia di negara ini agak tinggi tambahan pula bagi industri elektronik di Pulau Pinang.

“Bapak Presiden (Jokowi) minta kami rumuskan MoU tersebut untuk dihantar kepada kerajaan sini (Malaysia) bagi membuka laluan pengambilan pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam sempena Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Republik Indonesia ke- 76 di G Hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Konsul General Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Mengulas lanjut Hermono berkata, seramai 300,000 pekerja Indonesia dari negara ini dilaporkan pulang ke kampung halaman sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

“Ramai rakyat Indonesia pulang tahun lalu selepas pengumuman penutupan penuh (total lockdown) ia kerana mereka kehilangan pekerjaan sekali gus mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast