Tindakan sekumpulan dewasa yang menggerumuni rak kereta mainan hotwheels di sebuah pusat membeli belah di Bukit Jalil yang dibuka kelmarin mencetuskan kecaman awam kerana melanggar SOP dan sedang dikesan polis bagi membantu siasatan lanjut.Gambar Kredit Netizen Facebook.

KUALA LUMPUR – Tindakan sekumpulan lelaki mengerumuni rak kereta mainan hotwheels di sebuah kedai semasa pembukaan rasmi butik beli-belah Pavillon Bukit Jalil kelmarin mencetuskan kecaman dan kemarahan orang ramai.

Perbuatan bersesak-sesak tanpa menjaga penjarakan sosial itu jelas melanggar prosedur operasi standard bagi membendung penularan Covid-19 seperti yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan awal mendapati gambar kejadian yang tular itu disahkan berlaku pada 3 Disember di Pavilion Bukit Jalil.

“Polis sedang meneruskan siasatan untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam pelanggaran SOP di premis tersebut.” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Menurut beliau, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.2) 2021.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi sekiranya wujud pelanggaran SOP membabitkan mana-mana individu di tempat awam.

“Polis turut mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat yang disalurkan kepada PDRM bagi memastikan pematuhan SOP dipatuhi.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013- 2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya.

Kejadian sesak itu dipercayai akibat tawaran potongan harga sehingga 60 peratus untuk barangan terpilih di kedai berkenaan

Polis kini sedang mengesan kesemua individu yang terlibat dalam insiden perlanggaran SOP yang boleh membawa risiko kepada penularan wabak Covid-19.-MalaysiaGazette