SOP bagi PRN Sarawak sudah dikeluarkan SPR hari ini.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan SOP pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Menurut kenyataan itu, semua premis perlu disinfeksi sebelum dan selepas proses yang melibatkan taklimat petugas, penamaan calon dan proses cetakan serta semakan kertas undi.

Ia juga melibatkan proses pengeluaran, penerimaan dan pengiraan undi pos, hari semakan isi peti undi, tempoh berkempen, hari mengundi awal, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

Kawalan kehadiran ketat juga dilakukan di setiap premis berkenaan tertakluk kepada arahan tetap yang tidak menjejaskan pelaksanaan proses pilihan raya.

“Semua individu yang hadir di premis itu hendaklah melalui saringan suhu badan di pintu masuk utama, sebelum dibenarkan masuk.

“Individu yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius, batuk, sakit tekak atau susah bernafas tidak dibenarkan masuk ke premis, malah hendaklah tinggalkan premis itu dengan segera.

“Namun, pengecualian diberikan kepada calon, pencadang dan penyokong semasa hari penamaan calon, pengundi mengundi awal, hari mengundi dan Ketua Tempat Mengundi (KTM) pada hari penjumlahan rasmi undi dengan merujuk SOP pengurusan individu bergejala,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, rentas negeri tidak dibenarkan untuk tujuan berkempen sepanjang tempoh pilihan raya, kecuali lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding.

Katanya, nama pemimpin tertinggi parti itu perlu dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, manakala kemasukan ke negeri itu tertakluk kepada SOP yang sedang berkuatkuasa dan dihadkan kepada aktiviti yang diluluskan dalam permohonan enterSarawak.

Bagi mesyuarat di bilik gerakan parti atau calon hanya dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin iaitu tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan penjarakan fizikal.

“Sidang media selepas mesyuarat parti dibenarkan dengan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dan individu serta wartawan yang terlibat sahaja dibenarkan hadir.

“Penganjur perlu mendapatkan permit daripada polis sebelum ceramah atau syarahan diadakan, manakala tarikh, masa dan tempat perlu dinyatakan dalam permit untuk memudahkan pemantauan dilakukan,” kata kenyataan itu.

PRN Sarawak ke-12 akan diadakan pada 18 Disember ini melibatkan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan.

Antara parti yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang melibatkan empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Sarawak.

Pakatan Harapan (PH) pula terdiri daripada gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). – MalaysiaGazette