KUALA LUMPUR – Orang ramai mula menghitung hari bagi memeriahkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini bermula 9 Disember ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal merasmikan program itu pada hari pertama penganjurannya pukul 3 petang.
Menerusi perkongsian Majlis Keselamatan Negara (MKN), program itu berlangsung empat hari bermula jam 9 pagi hingga 10 malam dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan.
Antara programnya seperti karnival kerjaya, persembahan kebudayaan, malam aspirasi seni, jualan usahawan, sukan rakyat, galeri pencapaian kementerian serta program bantuan.
Sementara itu, MKN turut memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi petugas dan pengunjung dengan melakukan saringan kesihatan di pintu masuk, pemakaian pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Selain itu, aliran sehala untuk masuk dan keluar juga dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku sebarang kesesakan.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan program yang menyasarkan jumlah pengunjung fizikal seramai 20,000 orang dan 100,000 orang jumlah tontonan maya untuk sepanjang program. – MalaysiaGazette