Amirudin Shari

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bersidang petang ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) yang dinamakan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor pindaan 2021.

RUU itu meminda Perkara ke-63 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi menurunkan had umur mengundi dan calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari 21 kepada 18 tahun.

Hampir semua ADUN mengundi secara suara menyokong RUU itu bagi bacaan kali ketiga.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan kepada DUN bahawa RUU itu telah dipertimbangkan oleh jawatankuasa dan telah dipersetujui.

Katanya, dengan pindaan itu, rakyat Selangor dan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas boleh menjadi pendaftar pengundi secara sah dan layak untuk menjadi calon bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Kewujudan RUU ini akan menjadikan anak muda mendapat pendedahan dan pendidikan berkenaan demokrasi serta kepimpinan di peringkat awal.

“Seterusnya akan melahirkan masyarakat berwibawa dan berkaliber dalam soal kepimpinan.

“Di peringkat Persekutuan, Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan had umur kelayakan bagi warganegara Malaysia yang boleh menjadi Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat,” katanya di sidang DUN petang ini.

Menurut beliau, Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda melalui Akta Perlembagaan pindaan 2019, Akta A 1603 yang berkuatkuasa pada 11 September 2019, yang mana had umur kelayakan bagi calon Ahli Dewan Rakyat telah diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

Katanya, melalui Akta A 1603 ini juga Seksyen 5 Jadual kelapan Perlembagaan Persekutuan telah dipinda dengan menurunkan had umur kelayakan calon bagi Dewan Undangan Negeri daripada 21 tahun kepada 18 tahun .

Jelas Amirudin, hasrat Parlimen meminda Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 18 tahun serupa dengan pindaan had umur kelayakan bagi calon Ahli Dewan Rakyat dari 21 ke 18 tahun.

“Undang-Undang Tubuh Negeri belum menguatkuasakan pindaan had umur kelayakan calon bagi DUN sebagaimana diperuntukan di bawah seksyen itu dan ketika ini had umur kelayakan bagi seorang warganegara yang ingin menjadi ADUN adalah 21 tahun ke atas sebagaimana Perkara dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Oleh itu, bagi membolehkan penurunan had umur calon ADUN dilaksanakan, kerajaan negeri perlu membuat pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin memaklumkan, cadangan mengadakan RUU bagi menurunkan had umur kelayakan calon ADUN telah dibentangkan dan dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-29 tahun 2021 pada 18 Ogos lalu dan MMKN ke-31 pada 15 September lalu,” katanya.

Dari sudut undang-undang, kata beliau, jika kerajaan negeri tidak mengambil tindakan untuk meminda udang-undang tubuh bagi tujuan menguatkuasaan pindaan berkaitan had umur calon ADUN tersebut, berdasarkan peruntukan Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, suatu undang-undang boleh digubal oleh Parlimen bagi menguatkuasakan peruntukan berhubung had umur ADUN tersebut atau menghapuskan mana-mana peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri yang tidak selaras dengan kehendak Sekseyn 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette