V. Ganabatirau

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor tidak bercadang menggunakan bahasa lain, selain Bahasa Malaysia dalam menghantar jemputan kepada peserta Program Jom Shopping-Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Exco Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Kebajikan Masyarakat negeri, V. Ganabatirau berkata, walaupun ada aduan peserta tidak faham dengan teks jemputan yang dihantar dalam Bahasa Melayu, itu bukan alasan untuk kerajaan negeri menggunakan bahasa lain.

“Saya percaya sebagai rakyat Malaysia, kita semua patut memahami Bahasa Malaysia dan kita (kerajaan negeri) akan kekalkan dengan Bahasa Malaysia.

“Bagi peserta yang tidak faham itu, kita sedar mereka adalah orang tua (warga emas), tetapi anak-anak mereka atau ahli keluarga boleh membacanya,” katanya pada sesi pertanyaan di sidang DUN Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Shatiri Mansor (PKR-Kota Damansara yang bertanyakan mungkin ada cadangan dari kerajaan negeri untuk menghantar jemputan kepada peserta Program Jom Shopping-SMUE dalam bahasa Cina atau Tamil.

Katanya, beliau menerima aduan daripada peserta yang tidak faham mesej jemputan dalam Bahasa Malaysia.

Terdahulu, V. Ganabatirau menjelaskan Program Jom Shopping-SMUE mula diperkenalkan sejak 2019 dan sehingga tahun ini mempunyai 315,087 peserta yang diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Menurut beliau, selain jemputan daripada Yawas, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) juga disarankan menghubungi peserta di kawasan masing-masing melalui baucar, telefon dan surat.

Katanya, Yawas juga turut memberikan kemudahan untuk mengemas kini maklumat nombor telefon waris ahli Program Jom Shopping-SMUE melalui sistem http://www.smue.yawas.my/admin/online_semakan.php. – MalaysiaGazette