GEORGE TOWN – Seorang penyampai radio berdepan detik cemas apabila sebuah van kilang yang dipandu secara melawan arus tiba-tiba ‘menerpa’ ke arah keretanya ketika dia melalui Jambatan Pulau Pinang menghala bahagian pulau hari ini.

Asri Ishak, 45, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya di Butterworth untuk ke tempat kerja di Pulau Tikus di sini.

Jelasnya, sebuah kereta dipercayai jenis Honda City yang dipandu di lorong kanan dilihat cuba mengelak van berkenaan sebelum terbabas melanggar tembok pembahagi jalan di sebelah kanan. 

“Nasib baik saya nampak dan sempat mengelak kalau tidak mungkin saya juga terlibat dalam kemalangan akibat sikap pemandu van membahayakan pengguna jalan raya lain dengan memandu secara melawan arus.

“Van berkenaan tidak memberhentikan kenderaannya walaupun ada kereta terlibat dalam kemalangan disebabkan tindakannya.

“Saya tidak pasti keadaan pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu kerana jarak antara kenderaan kami jauh,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kejadian tersebut turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan milik Asri.

Terdahulu, tular satu klip rakaman video menunjukkan sebuah van dipandu secara melawan arus di kilometer 7.9 arah m Seberang Perai menghala ke bahagian pulau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast