imported chicken halal Minister of Agriculture and Food Industries, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee at a news conference after launching the 36th National Fishermen's Association of Malaysia (NEKMAT) Annual General Meeting (AGM) at the Tamu Hotel in Kuala Lumpur. PIX: MOHD ADZLAN / MalaysiaGazette /07 DECEMBER 2021.
Ronald Kiandee

KUALA LUMPUR – Bekalan ayam yang diimport disahkan berkualiti, selamat dan halal dalam usaha menampung keperluan kekurangan bekalan di negara ini untuk sementara waktu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee yang memberi jaminan itu berkata, kesemua ayam yang diimport hanya dibenarkan daripada diambil dari loji pemprosesan diiktiraf dengan pemantauan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tidak berbangkit (isu seperti kartel daging). Malaysia sudah mengimport (ayam) sejak sekian lama daripada loji-loji yang diiktiraf kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ke-36, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wartawan mengenai kegusaran orang ramai berhubung isu status halal ayam yang bakal diimport setelah kerajaan mengumumkan memberi kebenaran mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan bagi tempoh bulan ini hingga Februari tahun hadapan.

Langkah itu adalah susulan harga ayam segar di pasaran yang naik antara RM9.20 hingga RM10.80 sejak Oktober lalu hingga menyebabkan ramai pengguna mengeluh.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ronald berkata, kerajaan menggalakkan pertumbuhan syarikat yang boleh mengendalikan perniagaan dalam talian sebagai platform mengurangkan pengaruh orang tengah.

Ini kerana katanya, pengaruh orang tengah itu hanya bertindak memanipulasi harga sehingga menyumbang kepada punca kenaikan harga bekalan makanan di negara ini.

Bagaimanapun beliau berkata, peranan dan keperluan orang tengah sukar dihapuskan kerana ia mempunyai hubungan antara golongan petani, peladang dan penternak.

“Pendekatan urus niaga dalam talian jika dilakukan secara menyeluruh boleh mengurangkan pengaruh orang tengah. Jadi, penternak, petani dan nelayan harus bersedia melakukan pemasaran melalui platform ini.

“MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) menggalakkan pertumbuhan syarikat-syarikat swasta dan platform atas talian bukan hanya untuk urusniaga peniaga dengan peniaga tetapi juga peniaga dengan pengguna secara terus,” ujarnya. – MalaysiaGazette