Sukarelawan memakai Pakaian Perlindungan Diri (PPE) sebelum melakukan kerja-kerja sanitasi bagi membuat persediaan susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar KLCC, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 MEI 2020

KEMBALI kita mengulang saban tahun Hari Sukarelawan Antarabangsa yang
disambut pada setiap 05 Disember . Menyelam ke kolam sejarahnya, tekad menjadikan sektor kesukarelawanan sebagai agenda global yang bukan lagi alternatif tetapi mengarusperdana telah dikumandangkan oleh badan dunia pada tahun 2001 lagi. MBM di zaman Datuk Saifuddin Abdullah sebagai Presiden ketika itu hangat menyambut saranan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadikan tahun 2001 sebagai Tahun Sukarelawan Antarabangsa.

Antara inisiatif yang diambil oleh pihak MBM ialah penubuhan Forum Kesukarelaan Kebangsaan Malaysia dan penganjuran Konvensyen Pembangunan Belia dan Kesukarelaan oleh KBS, MBM, Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Belia Negeri Perak sempena tahun tersebut. Seperti mana-mana hari yang diwartakan sebagai mengenang sesuatu peristiwa atau mengiktiraf kelompok tertentu, Hari Sukarelawan Antarabangsa juga berada pada denai yang sama. Justeru, kita perlu berikan lebih perhatian supaya sambutannya setiap tahun itu diisi dengan semangat baru yang menyegarkan.

Banyak negara di luar sebenarnya memanfaatkan sektor ketiga yang mana kesukarelawanan adalah pentakrifnya untuk menyelamatkan lebih banyak khazanah negara daripada mengalir kepada taikun-taikun industri yang mungkin kitarannya berlegar dalam kelompok kecil sahaja. Contoh, kegiatan kesukarelawanan di Di United Kingdom aktiviti sukarela bernilai hingga 40 billion pounds setahun, menjadikannya penyumbang ketiga kepada KDNK.

Ia menyelamatkan peruntukan kerajaan untuk dimanfaatkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan. Kajian Eurobarometer pada tahun 2006 menganggarkan bahawa sejumlah 140 juta orang sukarelawan sepenuh masa sedunia menyumbangkan USD 400 billion, iaitu kira-kira atau 7% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia. Termasuk para pekerja sepenuh masa dalam bidang terbabit, mereka akan membentuk negara berpenduduk kesembilan tertinggi di dunia.

Justeru, kegiatan sukarelawan tidak boleh dipandang pojok. Pada 5 Disember setiap tahun kita merayakan sumbangan para sukarelawan ini yang mereka kedermawanan mereka telah menghadiahkan cahaya kepada kelompok yang berhajatkan.

Voluntarism menurut The Reader’s Digest-Oxford Wordfinder, bermaksud “the principleof
relying on voluntary action rather than compulsion; the doctrine that the will is
a fundamental or dominant factor in the individual or the universe; the doctrine that the Church or schools should be independent of the state and supported by voluntarycontributions”. Manakala perkataan voluntary pula bermaksud “ done, acting or able to act of one’s free will; unpaid work; built, brought about, produced, maintained, etc., by voluntary action or contribution”.

Perkataan volunteer pula merujuk “a person whovoluntarily undertakes a task or enters a military or other service, undertakes or offer one’s services, be a volunteer”. Dalam masyarakat Melayu, tradisi kesukarelaan, antara lain dicerminkan oleh konsep “gotong
royong”. Gotong royong dihidupkan dalam lalu lintas sendi keharmonian masyarakat penyayang dan prihatin, misalnya dalam membantu kerja-kerja membuat kenduri-kendara, turun ke sawah untuk menyemai dan menuai, menguruskan sakit pening dan kematian, memindahkan rumah dan sebagainya.

Di era moden, kesukarelawanan diterasi oleh idealisme atau“altruisme” yang menjadi dorongan mereka tampil untuk menyumbang bakti di persada kemanusiaan. Mereka yang dimaksudkan ialah para sukarelawan yang memiliki kesedaran nurani yang baik “goodness of heart” atau “charitable souls”.

Satu kajian yang termuat dalam karangan Saifuddin  (2001), mantan Presiden
Majlis Belia Malaysia bahawa di Brazil menunjukkan bahawa 50 peratus daripada
parasukarelawan/wati menyertai kerja-kerja kesukarelaan kerana mereka merasa bahagia apabila membantu orang lain, 38 peratus merasa bertanggungjawab membantu mereka yang kurang bernasib baik, manakala 31 peratus  pula kerana agama atau pengajian mereka memerlukannya.

Di Perancis, 19 peratus daripada golongan dewasanya terlibat dalam kerja-kerjasukarela. 60 peratus daripadanya menyumbangkan 20 jam atau lebih bagi setiap bulan. 46 peratus daripada responden menyatakan bahawa mereka melibatkan diri dalam kesukarelaan kerana suka menolong orang lain, manakala 27 peratus menyatakan yang mereka merasa bertanggungjawab untuk menolong.

Di Jerman pula, lebih kurang seorang dari setiap 3 orang dewasa, iaitu 34 peratus, terlibat dalam kerja-kerja sukarela pada purata 15 jam sebulan melalui pelbagai organisasi, inisiatif, projek dan kumpulan menolong sendiri. Tiga suku daripada mereka terlibat untuk menambahkan ilmu dan pengalaman.Lebih kurang 33 peratus orang dewasa Ireland terlibat dalam kerja-kerjasukarela.

Sebanyak 72 peratus daripadanya berpendapat bahawa sukarelawan/wati mampu menawarkan sesuatu yang tidak akan dapat disediakan oleh golongan profesional yang bergaji. Manakala, lebih 26 peratus daripada orang dewasa Jepun yang dikajimenyatakan bahawa mereka sedang atau pernah terlibat sebagai sukarelawan/wati. 48 peratus daripada mereka terlibat dalam kesukarelaan kerana ia berguna, manakala 33 peratus menyatakan ia dilakukan untuk menimba pengalaman.

Justeru, kita perlu mendorong lebih ramai rakyat Malaysia mengambil semangat ini. Bahawa kegiatan kesukarelawanan dengan atau atas apa sahaja dorongan di ruang kesedaran adalah pekerjaan mulia untuk mengangkat darjah kemuliaan insan yang terabaikan samada oleh kecurangan pentadbiran, sikap, budaya atau selainnya.

MBM dengan semangat berkenaan menggerakkan program “Konvensyen Relawan Untuk
Malaysia” yang dianjurkan oleh UNISEL dengan kerjasama Alumni Parlimen Belia Malaysia. Beberapa pra-resolusi yang dicadangkan agar dapat dimajukan dan dijadikan matlamat jangka panjang untuk memprofesionalkan budaya kesukarelawanan ini.

Pra-Resolusi Konvensyen Relawan untuk Malaysia 2021  5 Disember 2021:

1. Mewujudkan Akta Kesukarelawan bagi memastikan bidang Sukarelawan dapat diangkat
sebagai menjadi komoditi baharu negara dan juga pendekatan kuasa lunak (soft power)
kepada negara.
2. Memprofesionalkan pekerja sukarelawan melalui pensijilan khas daripada badan
professional bagi memastikan kebajikan mereka dan profesionalisme seiring berada pada
tahap yang kompeten.
3. Penubuhan Suruhanjaya Kesukarelawan bagi memastikan dipayungi oleh agensi kerajaan yang bertauliah sebagai pengiktirafan kepada sukarelawan yang terlibat membangunkan daya negara
4. Mewujud dan memperkasa latihan kesukarelawan berasaskan modul RnD di institusi pendidikan rendah, menengah dan tinggi untuk dapat membekalkan lebih ramai pemain-pemain baru yang dapat membangunkan “Industri Kesukarelawan Malaysia”

Cadangan ini tentunya terbuka kepada perbahasan. Kritik dan saran kita percaya akan mengambil tempatnya dalam proses untuk mematangkan sesuatu gagasan. Matlamat akhirnya tidak dikompromi, agar dapat kita mewujudkan satu ekosistem kesukarelawana yang sistematik dalam negara.

Selamat Hari Kesukarelawanan Dunia.

Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Ketua Penerangan Gerakan Belia 4B Malaysia