Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Seruan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara, Khalid Samad supaya perjanjian sefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan (PH) dikaji semula dan kebimbangan kleptokrasi dikompromi perlu diambil perhatian serius.

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, MoU antara PH dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah cetusan daripada usaha penyelesaian krisis politik dilatari musibah pandemik yang melanda negara.

Jalan mati penyelesaian politik selama 17 bulan setelah Langkah Sheraton telah menemukan semua pihak kepada meja rundingan untuk mencapai kestabilan politik, ujarnya.

Kestabilan politik diperlukan bagi pihak legaslatif/eksekutif tertumpu kepada membawa negara kepada fasa pemulihan secara konsensus.

Menurutnya, perincian Persefahaman menandai tiga objektif besar dipersetujui kedua belah pihak, iaitu Dana Besar Covid, Reformasi Parlimen dan Memperundangkan Kestabilan Politik.

Ketiga-tiga objektif ini khususnya Reformasi Parlimen dan Perundangan Kestabilan Politik (akta anti-lompat parti, akta pendanaan politik dan lain-lain) memerlukan kejujuran dan azam politik yang tinggi kerana ia adalah teras kepada jaminan kestabilan politik yang telah dirosakkan oleh para pencatur Langkah Sheraton.

Bagaimanapun, perosak utama MoU adalah anasir jahat yang melihat perjanjian ini sebagai jalan untuk selamatkan tengkuk mereka dari dakwaan kleptokrasi ataupun mereka yang bertujuan untuk berlengah-lengah supaya mereka dapat meneruskan amalan kleptokrasi.

”Anasir jahat seterusnya ialah menjadikan MoU sebagai taktikal untuk memperkukuhkan politik lama berteraskan perkauman sempit dan demokrasi terpilih dan mempertaruhkan kuasa dengan menawarkan kesetiaan politik melalui sogokan wang dan kedudukan.

”Sememangnya kebimbangan ke atas anasir perosak MoU adalah wajar dan kegagalan kita mempertahankan prinsip teras dalam MoU adalah kegagalan kita untuk membuka jalan kepada politik konsensus yang sangat diperlukan dalam masa proses penyembuhan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Oleh itu, katanya, PH ada pilihan untuk membatalkan MoU dengan kerajaan tetapi keberantakan politik akan berterusan.

Ataupun, PH ada pilihan untuk mempertahankan prinsip MoU bersama dan mengisytiharkan perang ke atas anasir perosak rentas semua parti.

Jelasnya, komitmen PH dan Kerajaan Ismail Sabri terhadap perjanjian ini akan memulakan perjalanan panjang politik konsensus untuk kestabilan berterusan.

Semalam, Khalid mahu MoU antara Kerajaan Malaysia dan PH dikaji semula sekiranya integriti diketepikan dalam kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

Khalid berkata, parti itu menolak sebarang kerjasama dengan golongan kleptokrat.

Ini kerana, katanya, PAN memperjuang sifat integriti dan keamanahan kerana ia dianggap penting dan paksi kebangkitan ummah di negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast