garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan meneliti cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar tempoh perjawatan lima pengurusan atasan pihak berkuasa tempatan (PBT)  dikaji.

Lima perjawatan itu melibatkan Datuk Bandar, Yang Dipertua, Timbalan Datuk Bandar, Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha Majlis Bandaraya serta Majlis Perbandaran.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, pelantikan pengurusan atasan PBT itu setakat ini berdasarkan Akta 171 melalui kelulusan kerajaan negeri.

Katanya, pada masa ini kebanyakan mereka adalah penjawat awam lantikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Oleh itu, mereka terikat dengan peruntukan JPA, di mana perkhidmatan mereka adalah secara tempoh tertentu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan meneliti perkara ini bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan pengurusan mereka kepada rakyat tidak terganggu,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan pindaan RUU menaiktaraf Majlis Perbandaran kepada Majlis Daerah Hulu Selangor, di sidang DUN, hari ini.

Terdahulu, Lee Kee Hiong (DAP-Kuala Kubu Baharu) dalam sesi perbahasannya meminta kerajaan negeri mengkaji semula tempoh perkhidmatan lima pengurusan atasan PBT itu.

Sementara itu, menjawab perkara dibangkitkan Harumaini Omar (PPBM-Batang Kali) mengenai kadar cukai taksiran dan bayaran lesen perniagaan, Sze Han berkata, pada masa ini masih kekal seperti sedia ada, walaupun PBT itu telah dinaiktaraf kepada Majlis Perbandaran.

“Saya tegaskan sekali lagi, kenaikan taraf dari Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran tiada kaitan secara langsung dengan kenaikan cukai taksiran atau fee lesen perniagaan. Tiada kaitan secara langsung.

“Kerajaan negeri telah bersetuju program pengecualian cukai taksiran bagi kategori kediaman kos rendah dan kediaman kampung serta fee lesen penjaja dan peniaga kecil diteruskan bagi 2022.

“Kerajaan negeri juga telah meminta semua PBT membantu penjaja dengan mempercepatkan kelulusan lesen sementara serta mengenal pasti lokasi baru yang bersesuaian untuk peniaga kecil,” katanya.

Katanya, bagi penjaja pula, lesen untuk mereka adalah percuma dan jika ada aduan kenaikan kadar bayaran, boleh ajukan kepadanya untuk tindakan. – MalaysiaGazette