Cairul Hisham (dua dari kiri) merasmikan Program Mendaya Komuniti Sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Johor 2021 di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor untuk menangani masalah longgokan sampah, terutamanya di kawasan pedalaman dan terpencil.

Pengarahnya, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, ini termasuk melakukan pengesanan kawasan pelupusan sampah haram di tanah tidak bercukai di sekitar bandar raya ini termasuk di Sungai Danga, di sini.

“Tumpuan kita akan lebih memfocuskan pengesanan lokasi sampah haram, jadi kita juga mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat untuk maklumkan berhubung perkara itu dan kita akan terus membuat serbuan.

”Untuk masalah di Sungai Danga itu kita bekerjasama dengan PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Untuk kawasan itu (Sungai Danga) sebenarnya ia mempunyai pelbagai masalah lain, mereka buang di kawasan reserve sungai dan ada juga masalah kawasan tidak bercukai, jadi perkara ini perlu diatasi bersama, berpandukan bidang kuasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mendaya Komuniti Sempena Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan Johor 2021, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menzahirkan kekesalan baginda terhadap pemandangan Sungai Danga yang dicemari dengan sampah sarap dan kotor di sepanjang lembangan sungai itu.

Baginda Sultan turut menitahkan kerajaan negeri dan Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyanathan untuk memberi perhatian dalam menangani masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di Johor.

Cairul Hisham berkata, setakat tahun ini kira-kira RM300,000 kompaun dikeluarkan oleh mahkamah kepada pihak tidak bertanggungjawab atas kesalahan membuang sampah secara haram di tapak tidak dibenarkan.

“Jika diikutkan kita sudah kenal pasti kira-kira 200 tempat pelupusan sampah haram di seluruh negeri dan hanya 50 hingga 60 sahaja yang daripadanya berulang.

“Kita memang sentiasa aktif mengesan perkara ini, dan tindakan penguatkuasaan dilakukan tanpa sebarang kompromi. Jumlah kompaun setakat ini sahaja memang dikenakan tinggi sekurang-kurangnya RM20,000,” katanya.

Selain itu, 87 kompaun dikeluarkan SWCorp Johor kepada premis yang dikesan gagal mengasingkan bahan kitar semula dalam sisa buangan mereka melibatkan nilai kompaun RM4,750.

Sejak 1 Januari tahun ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 120,000 premis kediaman di seluruh negeri.

“Bermula dari September 2016, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang untuk mengasingkan bahan buangan kitar semula daripada sisa buangan biasa dengan kadar kompaun sebanyak RM1,000,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast