KUALA LUMPUR – Kadar pengangguran menurun kepada paras terendah sejak April 2020 dengan merekodkan 4.3 peratus pada Oktober 2021 susulan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial & rekreasi secara berterusan mendorong kedudukan tenaga buruh untuk kekal stabil.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, trend peningkatan penduduk bekerja berterusan pada bulan Oktober 2021 dengan mencatatkan pertambahan sebanyak 0.6 peratus bulan ke bulan kepada 15.55 juta orang (September 2021: 15.46 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat sebanyak 0.3 mata peratus kepada 65.8 peratus (September 2021: 65.5%).

Sementara itu, bilangan penganggur terus berkurangan sebanyak 3.4 peratus merekodkan 705,000 orang penganggur (September 2021: 729,600 orang).

Walaupun bilangan penganggur berada dalam trend penurunan, secara relatifnya ia masih lebih tinggi berbanding tempoh pra-pandemik. Pengangguran pada bulan Oktober 2021 menurun kepada kadar terendah sejak April 2020 dengan merekodkan 4.3 peratus (September 2021: 4.5%; April 2020: 5.0%; Mac 2020: 3.9%).

Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Oktober 2021 meningkat sebanyak 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 16.26 juta orang (September 2021: 16.19 juta orang) dengan kadar penyertaan tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.2 mata peratus kepada 68.8 peratus (September 2021: 68.6%).

Dari segi guna tenaga mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan & minuman; maklumat & komunikasi dan pengangkutan & penyimpanan. Begitu juga, guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan kekal positif untuk bulan ketiga.

Manakala sektor pertanian dan perlombongan & pengkuarian masih dalam trend penurunan.

Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77 peratus daripada jumlah penduduk bekerja mengekalkan pertumbuhan positif pada Oktober 2021 iaitu sebanyak 0.4 peratus kepada 11.97 juta orang (September 2021: 11.93 juta orang).

Begitu juga dengan kategori penduduk bekerja sendiri yang sebahagian besarnya terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja sebagai pengusaha perniagaankecil serta pekebun kecil, meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 2.61 juta orang (September 2021: 2.57 juta orang).

Perubahan bulan ke bulan yang lebih baik bagi kedua-dua kategori pekerjaan ini mencerminkan impak positif pembukaan semula aktiviti ekonomi dan penarikan balik sekatan perjalanan rentas negeri pada bulan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Oktober 2021, Mohd Uzir berkata, daripada keseluruhan bilangan penganggur pada bulan tersebut, 83.6 peratus adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

Kumpulan ini merekodkan penurunan sebanyak 3.5 peratus kepada 589,500 orang (September 2021: 611,000 orang).

Dari segi tempoh pengangguran, kumpulan yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 55.5 peratus manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun adalah sebanyak 7.8 peratus.

Merumuskan keseluruhan kedudukan tenaga buruh, Mohd Uzir berkata, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah mempercepatkan proses vaksinasi dalam kalangan penduduk Malaysia.

Selaras dengan itu juga, sebahagian besar negeri telah beralih ke Fasa 4 PPN, sekali gus membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi dan sosial & rekreasi beroperasi semula.

Kelonggaran sekatan perjalanan rentas negeri dijangka memberi kesan positif terhadap industri berkaitan pelancongan domestik bagi meningkatkan kembali momentum perniagaan termasuk aktiviti kesenian, hiburan & rekreasi dan pengangkutan.

Perkembangan positif ini akan dapat memacu proses pemulihan ekonomi pada bulan-bulan akan datang, namun hal ini tidak mengambil kira varian Covid-19 yang baharu dan lebih berbahaya. – MalaysiaGazette