Anggota polis mengawal ketat kawasan mahkamah pada hari keputusan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan sabitan salah ke atas Datuk Seri Najib Razak berhubung kes penyewelengan dana SRC International Sdn Bhd.

Tiga panel hakim yang diketuai oleh Datuk Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan sambil menyifatkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas adalah betul.

Turut bersidang Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap Najib Razak.

“Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

“Oleh yang demikian, mahkamah memutuskan untuk menolak rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas,” katanya dalam penghakiman sebentar tadi.

Keputusan telah disampaikan melalui dalam talian sekitar 9.30 pagi tadi  berikutan bekas perdana menteri itu dan peguam belanya merupakan kontak kasual kepada anak lelaki Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan, yang disahkan positif Covid-19.

Sebelum ini pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi Najib hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika itu memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, namun tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Pertuduhan salah guna kuasa adalah di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala pertuduhan pengubahan wang haram adalah di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.

Beliau dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu keputusan rayuan pada hari ini. – MalaysiaGazette